Desas-desus mengenai iPhone baharu keluaran tahun hadapan telah pun kedengaran walaupun siri iPhone 17 baharu sahaja memasuki pasaran. Mark Gurman dari Bloomberg pada hari ini telah berkongsikan beberapa maklumat baharu iPhone boleh lipat yang dijadual dilancarkan pada tahun hadapan.
Menurutnya, iPhone boleh-lipat dijangka akan kelihatan amat mirip dengan dua iPhone Air yang diletakkan secara bersebelahan. Ia juga akan hadir dengan casis titanium. Khabar angin ini selari dengan spekulasi dari komuniti yang mendakwa Apple menghasilkan iPhone Air sebagai eksperimen untuk iPhone boleh lipat keluaran akan datang.
Selain itu, Gurman juga menyatakan maklumat yang diterimanya menunjukkan Apple mungkin menghasilkan iPhone boleh lipat di China. Pun begitu, beliau masih lagi ‘cakap berlapik’ dengan mengatakan mungkin sebahagian daripadanya. akan dibuat di China. Ini kerana Apple baru-baru ini dilaporkan telah memulakan pengeluaran iPhone boleh lipat di India.
Tidak ketinggalan, beliau turut menyatakan iPhone boleh lipat ini mungkin berharga sekurang-kurangnya $2000 (~RM8,419). Sebelum ini terdapat desas-desus yang mendakwa harganya sekitar $2100-$2300 (~RM8,841 – ~RM9,683).
Pelancarannya pula dijangka akan diperkenalkan bersama-sama siri iPhone selewat-lewatnya pada Oktober atau November 2026.