iPhone Air akan tersedia di Malaysia pada hari yang sama dengan di Amerika Syarikat iaitu Jumaat, 19 September 2025. Dikuasakan oleh pemprosesan Apple A19 Pro baharu, iPhone Air bukan hanya menampilkan rekaan fizikal baharu, malah merupakan iPhone paling nipis sehingga kini yang menurut Apple berukuran hanya 5.6mm.
Kehadiran iPhone Air ini juga menandakan ketiadaan model Plus buat kali kedua. Sebelum ini model Plus pertama kali diperkenalkan melalui iPhone 6 Plus pada 2014 sehingga iPhone 8 Plus pada 2017. Ia kemudian diperkenalkan sekali lagi pada 2022 menerusi iPhone 14 Plus.
Harga iPhone Air di Malaysia
iPhone Air akan tersedia dengan tiga pilihan storan untuk pasaran Malaysia iaitu:
- iPhone Air 256GB: RM4,999
- iPhone Air 512GB: RM5,999
- iPhone Air 1TB: RM6,999
Anda boleh mendapatkan pengurangan harga dengan membuat penukaran telefon pintar lama menerusi program Apple Trade-In. Tawaran pengurangan di antara RM200 sehingga RM4,400 bergantung dengan keadaan peranti yang ditukarkan.
Apple turut menawarkan perlindungan AppleCare+ untuk iPhone Air baharu pada harga RM949 sebagai jaminan dari kerosakan.
Untuk pilihan warna, anda boleh mendapatkan pilihan warna Sky Blue, Light Gold, Cloud White, dan Space Black. Pra-tempahan iPhone Air di Malaysia akan dibuka bermula pada Jumaat, 12 September 2025 jam 8 malam.