Apple iPhone 6s dan iPhone 6s Plus kini hadir ke pasaran Malaysia. Kali ini rakyat Malaysia tidak perlu menunggu terlalu lama untuk ianya hadir ke pasaran tempatan. Melalui promosi pra-tempahan yang akan dimulakan oleh keempat-empat syarikat telco utama Malaysia, harga peranti ini akan segera diketahui.

iPhone 6s dan iPhone 6s Plus yang baru ini hadir dengan beberapa kemaskini terhadap kefungsian dan ciri rekaan luarannya. Apple bukan sahaja memperkenalkan kamera yang lebih baik dan pemprosesan baru yang lebih pantas, gergasi teknologi dari Amerika Syarikat ini turut memperkenalkan cara baru dalam menggunakan telefon pintar melalui teknologi 3D Touch.

Apa pun, yang penting adalah model iPhone baru ini boleh didapati di kedai atas talian rasmi Apple dan penjual rasmi Apple bermula 16 Oktober ini. Ia agak awal jika dibandingkan dengan tahun lalu. Mungkin, ianya dipercepatkan atas permintaan yang meningkat terhadap telefon pintar ini oleh rakyat Malaysia sendiri.

Berikut adalah senarai harga model iPhone terbaru di Malaysia berdasarkan yang tertera pada laman web Maxis;

iPhone 6s, 16GB: RM3,099
iPhone 6s, 64GB: RM3,599
iPhone 6s, 128GB: RM4,099

iPhone 6s Plus: 16GB: RM3,599
iPhone 6s Plus: 64GB: RM4,099
iPhone 6s Plus, 128GB: RM4,499

Sebagai perbandingan, harga iPhone di Malaysia secara relatifnya agak murah jika dibandingkan dengan negara-negara lain terutamanya dengan negara jiran kita Singapura dan juga Australia. Namun, untuk mendapatkan harga iPhone yang paling murah di dalam pasaran dunia ini tentunya anda perlu melihat ke Amerika Syarikat dan Jepun yang mana kedua-dua negara ini secara tradisinya menjual peranti seperti iPhone ini lebih murah berbanding negara-negara lain.

-Maklumat lanjut boleh didapati di Maxis dan Digi

Tinggalkan komentar