Apple dilaporkan sedang dalam perancangan untuk mempertingkatkan lagi ketahanan bateri pada model mercu akan datang mereka, iPhone 18 Pro Max.
Laporan terkini menjangkakan peranti tersebut akan dilengkapkan dengan kapasiti bateri yang lebih besar berbanding model terdahulu. Ia menjanjikan prestasi penggunaan harian yang lebih lama.
Maklumat yang diperoleh daripada sumber rantaian bekalan ini juga membayangkan Apple terus memmfokuskan kecekapan tenaga dan hayat yang lebih panjang.
Digital Chat Station mendakwa iPhone 18 Pro Max dijangka mempunyai kapasiti bateri antara 5,100 mAh hingga 5,200 mAh. Peningkatan ini bersama-sama kecekapan cip pemprosesan A20 Pro berasaskan teknologi proses 2nm TSMC, berpotensi menawarkan ketahanan bateri yang luar biasa.
Bagi memuatkan bateri yang lebih besar ini, reka bentuk peranti tersebut dijangka akan menjadi sedikit lebih tebal berbanding model sebelumnya.
Sebagai perbandingan, model terdahulu iaitu iPhone 17 Pro Max memiliki bateri berkapasiti 5,088 mAh yang mampu menawarkan jangka hayat bateri sehingga 39 jam.
Jika maklumat spesifikasi baharu ini tepat, iPhone 18 Pro Max dijangka mampu melepasi penanda aras tersebut dengan mudah. Malah berpotensi menawarkan penggunaan melebihi 40 jam.
Selain itu, model ini juga dikhabarkan akan hadir dengan beberapa pembaharuan lain. Antaranya “Dynamic Island” yang lebih kecil, modem C2, kawalan kamera yang dipermudah, serta kamera hadapan 24-megapixel.
Turut dinyatakan, pelancaran siri iPhone 18 Pro ini dijangka berlangsung pada lewat tahun ini. Kemungkinan akan diperkenalkan bersama-sama dengan iPhone boleh lipat pertama Apple. Khabarnya telefon pintar tersebut memiliki bateri melebihi 5,500 mAh.
Peningkatan kapasiti bateri pada iPhone 18 Pro Max menandakan komitmen berterusan Apple dalam mengekalkan kedudukan mereka sebagai peneraju industri dari segi ketahanan bateri peranti mudah alih.
Sekiranya khabar angin ini menjadi kenyataan, pengguna boleh menjangkakan pengalaman penggunaan yang lebih lama tanpa perlu kerap mengecas peranti. Ia sekaligus menetapkan satu lagi standard tinggi bagi telefon pintar kelas premium di pasaran.













