Apple baharu sahaja mengumumkan iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max yang boleh dikatakan antara iPhone yang paling menarik dikeluarkan kebelakangan ini. Ia hadir dengan rekaan semula baharu yang menumpukan peralihan semula kepada aluminium dari titanium.
Selain memperkenalkan unibody dari aluminium, siri ini juga menggunakan kaca Ceramic Shield 2 melindungi paparannya. Kaca Ceramic Shield juga dipasangkan pada bahagian bawah ruangan modul kamera-kameranya. Menurut Apple, kaca ini tiga kali lebih tahan dari calar, dan empat kali lebih kental dari keretakan. Kaca pada skrinnya mempunyai 7 lapisan anti pantulan, sama seperti yang digunakan Samsung pada siri Ultra keluarannya.
iPhone 17 Pro mempunyai paparan Super Retina XDR berukuran 6.3-inci, manakala iPhone 17 Pro Max pula berukuran 6.9-inci. Kedua-duanya juga memiliki ProMotion dengan panel adaptif 120Hz yang boleh diturunkan ke 1Hz untuk mod Always-On Display. Skrinnya ini juga mempunyai kecerahan puncak 3,000 nits.
Sistem kameranya ditempatkan pada bahagian bonggol dinamakan plateau kamera yang merupakan sebahagian daripada unibody aluminium telefon pintar ini.
Peningkatannya paling ketara adalah pada kamera telefoto 5x yang kini mempunyai sensor Fusion 48MP, menyamai resolusi dua kameranya yang lain. Ia bukan sekadar peningkatan pada piksel. Melalui lensa 100mm f/2.8 padanya, pembesaran optikal kini 4x bersama-sama zum digital 8x atau 200mm hasil dari resolusinya yang lebih tinggi. Kamera telefoto ini juga berkongsikan rekaan optikal tetraprism dan penstabil anjakan sensor yang digantikannya.
Dua lagi kamera Fusion 48MP pada bahagian belakangnya merupakan kamera lebar 26mm dan ultra lebar 13mm. Di hadapannya pula terdapat kamera Center Stage 18MP 1:1 baharu. Ia mengurangkan keperluan untuk anda melintangkan telefon apabila mengambil swafoto bersama rakan-rakan.
Lebih lagi, swafoto yang diambil akan dilaraskan secara automatik sudut pandangannya apabila mengesan keperluan untuk tangkapan lebih lebar dan memastikan subjek berada di tengah-tengah ketika swavideo.
Bercakap tentang video, siri iPhone 17 Pro membawakan ProRes RAW, Log 2, dan genlock (digunakan untuk menyegerakkan video dari pelbagai kamera dan input) dengan sokongan untuk Final Cut Camera 2.0 dan Blackmagic Camera. Ia merupakan penambahan dari ciri-ciri sebelum ini yang merangkumi ProRes Log, Dolby Vision HDR, dan rakaman 4K pada kadar sehingga 120fps.
iPhone 17 Pro dan 17 Pro Max menggunakan pemprosesan 3nm baharu Apple A19 Pro. Ia lebih tinggi berbanding A19 pada iPhone 17 dan juga A19 Pro pada iPhone Air. Untuk pemprosesan di dalam model Pro ini, ia mempunyai enam teras CPU (dua terasprestasi, dan empat teras berkecekapan) dan enam teras GPU yang menyokong pemecutan grafik Ray Tracing dipacu perkakasan. Neural Engine 16 teras didalamnya mempertingkatkan prestasi Apple Intelligence. Model-model Pro ini juga hadir dengan kebuk pengewapan rekaan Apple baharu bagi tujuan penyejukan yang lebih baik.
Menurut Apple, penggunaan bahan aloi khas merupakan peningkatan besar dari Titanium yang digunakan pada model-model terdahulu dengan menawarkan kelestarian prestasi sebanyak 40%. Kedua-dua iPhone 17 Pro dan Pro Max menggunakan cip rangkaian rekaan Apple N1 dengan sokongan Wi-Fi 7, Bluetooth 6, dan Thread.
Rekaan baharu ini juga membolehkan bateri lebih besar dimuatkan untuk kedua-dua model Pro. Apple tidak memperincikan angkanya, namun mendakwanya sebagai hayat bateri terbaik untuk iPhone dengan menyatakan mampu memainkan video 2 jam lebih panjang berbanding sebelum ini sehingga 39 jam.
Siri iPhone 17 Pro juga dilancarkan bersama-sama iOS 26 dengan mengetengahkan rekaan Liquid Glass yang menurut Apple menjadikan sistem operasi dan aplikasinya lebih ekspresif dan menyeronokkan.
Harga iPhone 17 Pro, dan iPhone 17 Pro Max di Malaysia
Sama seperti pelancaran iPhone 16 tahun lepas, Malaysia telah dipilih sebagai salah satu pasaran pertama di dunia yang menerima siri iPhone 17 Pro baharu ini. Anda boleh membuat pra-tempahan iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max di laman web rasmi Apple Malaysia bermula dari Jumaat, 12 September 2025 jam 8 malam. Berikut harga bagi model-model iPhone 17 Pro di Malaysia:
- iPhone 17 Pro 256GB: RM5,499
- iPhone 17 Pro 512GB: RM6,499
- iPhone 17 Pro 1TB: RM7,499
- iPhone 17 Pro Max 256GB: RM5,999
- iPhone 17 Pro Max 512GB: RM6,999
- iPhone 17 Pro Max 1TB: RM7,999
- iPhone 17 Pro Max 2TB: RM9,999
Dari segi warna, hanya tiga warna yang ditawarkan untuk siri iPhone 17 Pro iaitu Silver, Cosmic Orange, dan Deep Blue. Anda boleh mendapatkan perlindungan ekstra untuk telefon pintar ini menerusi pelan AppleCare+ yang berharga RM949.