Utama Apple iPhone 17 kini rasmi; Skrin 120Hz, Dua Kamera 48MP, Harga dari RM3,999

iPhone 17 kini rasmi; Skrin 120Hz, Dua Kamera 48MP, Harga dari RM3,999

49
0

iPhone Air mungkin mencuri telah mencuri tumpuan di dalam acara besar Apple semalam dengan kenipisannya, serta iPhone 17 Pro dan Pro Max dengan ciri-ciri terbaiknya. Tapi apa cerita dengan iPhone 17?

Ia juga diperkenalkan semalam dengan beberapa ciri penambahbaikan yang menarik.

Siri kali ini menampilkan skrin Super Retina XDR 6.3-inci lebih besar dan terang dan untuk pertama kalinya untuk iPhone bukan Pro, ciri ProMotion yang menawarkan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz. Melaluinya juga, ia menerima Always-On Display, paparan masa, widget, dan Live Activities dalam sekilas pandangan hasil dari kadar penyegaran semula yang boleh diturunkan serendah 1Hz ketika tidak digunakan.

Permukaan skrinnya dilapisi oleh Apple Ceramic Shield 2 yang menawarkan ketahanan calar tiga kali lebih baik dan anti-pantulan yang lebih baik bagi mengurangkan silau. Kecerahan puncaknya 3,000 nits, paling tinggi pada iPhone memberikannya lebih mudah dilihat di luar (outdoor) berbanding iPhone 16.

Pemprosesan A19 3nm Baharu

iPhone 17 dikuasakan oleh pemprosesan baharu Apple A19 yang dibina menggunakan proses 3nm mengandungi enam teras CPU yang 1.5x lebih pantas berbanding A15 Bionic pada iPhone 13, menurut Apple. Lima teras GPU padanya pula dua kali lebih pantas berbanding A15 tersebut.

Pastinya, iPhone 17 juga mempunyai Neural Engine yang ditambah baik dan menyokong Apple Intelligence bersama-sama enjin paparan dan ISP yang ditambahbaik. Apple menyatakan anda boleh mendapatkan main semula video sepanjang 30 jam untuk sekali cas. iPhone 17 juga boleh dicaskan sehingga 50% dalam 20 minit dengan adapter kuasa USB-C berwattan tinggi seperti Apple 40W Dynamic Power Adapter with 60W Max baharu.

Cip Apple N1 turut dimuatkan ke dalam iPhone 17 yang menampilkan sokongan Wi-Fi 7, Bluetooth 6, dan Thread. N1 juga dikatakan akan meningkatkan prestasi dan keboleh-harapan keseluruhan untuk ciri-ciri seperti Personal Hotspot dan AirDrop.

Telefon pintar baharu keluaran Apple ini juga mempunyai dua kamera belakang 48MP yang pertama kalinya diperkenalkan pada model bukan Pro. Dua kamera berkenaan salah satunya kamera utama dengan sokongan zum optikal 2X lossless dan satu lagi adalah kamera ultra lebar dengan keupayaan makro.

Melalui ciri Photographic Styles, anda boleh menyesuaikan foto anda dengan melaraskan warna, sorotan dan bayangan dalam masa nyata dengan pemahaman tona kulit yang lebih baik. Di dalam iOS 26 juga disediakan gaya Bright baharu yang akan mencerahkan tona kulit dan boleh menjadikan gambar-gambar kelihatan lebih berseri.

Harga iPhone 17 di Malaysia

Pilihan storan iPhone 17 bermula dari 256GB, dan satu lagi pilihan storan 512GB. Harga bagi iPhone 17 di Malaysia adalah seperti berikut:

  • iPhone 17 256GB: RM3,999
  • iPhone 17 512GB: RM4,999

Lima warna ditawarkan untuk iPhone 17, termasuklah Lavender, Sage, Misty Blue, White, dan Black. Bagi jaminan produk, AppleCare+ turut ditawarkan untuk iPhone 17 yang berharga RM749 untuk semua pilihan jenis pilihan storan.

Tinggalkan komentar