Sebagaimana yang dinanti-nantikan, Apple secara rasminya mengumumkan iPhone 11 bersempena Apple Event. Pewaris kepada iPhone XR ini hadir dengan pelbagai penambahbaikan baik di dalam mahupun luarannya.

Untuk luarannya, iPhone 11 menawarkan Paparan Liquid Retina 6.1 inci yang menurut Apple merupakan panel LCD termaju dengan True Tone. Justeru, paparannya mampu menawarkan gamut warna yang lebih luas, secara praktikalnya memberikan ketepatan warna yang lebih jitu untuk tontonan video dan paparan imej pada telefon.

Disebalik kerangkanya, iPhone 11 dikuasakan oleh cipset terbaru Apple A13 Bionic. Apple turut menegaskan cipset ini lebih berkuasa daripada cipset Qualcomm Snapdragon 855 dan juga A12 Bionic. Tidak dapat dipastikan apakah penanda aras yang digunakan oleh Apple yang mengukuhkan dakwaan ini.

Seterusnya, iPhone 11 turut menawarkan tetapan dwi-kamera baru untuk modul utamanya. Ia terdiri daripada lensa lebar 12MP f/1.8 dan lensa ultra-lebar 12MP f.24. Justeru, penambahan sensor kedua ini menawarkan pengguna keupayaan untuk menangkap gambar bersudut ultra-lebar. Tidak ketinggalan, Apple turut mempertingkatkan fungsi Mod Malam pada iPhone 11 melalui penggunaan algoritma AI.

Rakaman video merupakan satu lagi ciri menarik pada iPhone 11. Telefon pintar ini mampu merakamkan video 4K pada kadar bingkai 60 fps. Sebagai bonus tambahan, UI kamera baru kini mempunyai fungsi rakaman segera; anda hanya tekan dan tahan butang tangkapan, dan secara automatik memulakan proses rakaman video.

Kamera TrueDepth pada bahagian depan iPhone 11 turut diberikan penambahbaikan yang diantaranya kebolehan merakam swafoto gerakan perlahan. Fungsi Face Unlock juga lebih baik dan lebih cepat berbanding yang ditawarkan pada iPhone XR.

iPhone 11 akan dijual di Amerika Syarikat pada harga US$ 699 (~ RM2912), dengan pra-tempahan mula dibuka Sabtu ini (Jumaat di Amerika Syarikat). Setiap pembelian iPhone 11 juga akan ditawarkan langganan 1 tahun percuma untuk perkhidmatan Apple TV+.

Tinggalkan komentar