Apple telah menerbitkan versi muktamad iOS 15, versi utama sistem operasi untuk iPhone. Ia percuma untuk dimuat turun dan disokong oleh iPhone 6s dan ke atas, kedua-dua generasi iPhone SE dan juga iPod model sesentuh yang terkini.

Selain itu, pengguna iPad juga boleh memuat turun kemaskini iPadOS 15. Manakala pengguna jam tangan pintar Apple juga boleh mendapatkan watchOS 8 bermula dari hari ini.

Perubahan besar iOS 15 adalah pada mod Focus baharu. Ia merupakaan penambahan kepada mod “Do not Disturb (DnD)”, yang mana anda boleh melakukan konfigurasi mengikut pelbagai mod.

Anda boleh memilih aplikasi-aplikasi dan kenalan yang anda ingin notifikasinya dipaparkan dan mengubah fokus anda mengikut keadaan. Misalnya, anda boleh wujudkan mod Kerja, mod Tidur, mod Senaman dan sebagainya.

Terdapat juga pelbagai fungsi baharu yang diperkenalkan seperti

  • aplikasi Weather baharu
  • peta yang dikemaskini di dalam Apple Maps
  • versi FaceTime yang ditambahbaik
  • Safari berwajah baharu

iOS versi baharu ini juga boleh mengimbas foto untuk mengesan teks melalui fungsi yang dinamakan sebagai Live Text. Fungsi ini membenarkan anda pilih, salin dan tampal teks dari sesebuah foto.

Fungsi ini juga boleh digunakan bersama dengan Spotlight. Anda boleh membuat carian teks di dalam foto anda secara terus di dalam Spotlight dan ia akan memaparkan foto-foto yang berkaitan. Seluruh fungsi berkenaan dijalankan secara terus pada peranti pengguna.

Lebih fungsi tambahan untuk pengguna iCloud

Pengguna iCloud berbayar pula telah dinaiktaraf kepada iCloud+. Sebagai tambahan kepada lebih ruangan storan, pelanggan iCloud+ juga akan mendapat pelbagai fungsi baharu.

iCloud Private Relay, yang boleh didapati secara beta akan membenarkan anda melayari web dengan privasi yang dipertingkatkan. Fungsi Hide My Email pula membenarkan anda mewujudkan alamat emel yang dijanakan secara rawak apabila ingin mewujudkan akaun baharu di dalam web. Pengguna emel iCloud juga boleh mengubah ke nama domain peribadi.

Kemaskini ini sudah pun tersedia dan boleh didapati secara over-the-air di dalam aplikasi Settings dan secara berwayar dengan menyambungkan komputer untuk mendapatkan kemaskini berkenaan.

Untuk mengemaskini, anda boleh pergi ke aplikasi Settings, kemudian pergi “General” > “Software Update”. Seterusnya terdapat paparan yang menyatakan “Update Requested…” dan proses kemaskini akan dimulakan tidak berapa lama selepas itu.

Pastikan anda melakukan sandaran fail-fail penting di dalam peranti anda terlebih dahulu sebelum memulakan proses mengemaskini ke iOS 15.

Tinggalkan komentar