Samsung sedang mengusahakan tablet mampu milik bersaiz 10-inci dan dikatakan mungkin hadir pada bulan depan. Maklumat terkini mengenainya telah ditiriskan oleh @OnLeaks dan 91mobiles dengan lebih terperinci.

Samsung Galaxy Tab A8 10.5 (2021) akan menampilkan paparan LCD biasa 10.5-inci beresolusi 1,920 x 1,200 piksel dengan nisbah aspek 16:10. Tablet ini juga akan dilengkapkan dengan empat pasang pembesar suara dengan penalaan Dolby Atmos.

Tablet ini walaubagaimanapun tidak sesuai untuk memainkan permainan mudah alih dengan cipset Unisoc Tiger T618 padanya. Cipset 12nm ini mempunyai dua teras Cortex-A75 pada 2.0 GHz. Serta enam teras berkecekapan A55 pada 1.8GHz, satu teras GPU Mali-G52 MP2 dan satu modem LTE.

Tidak semua versi tablet ini mempunyai sambungan rangkaian LTE dan ada yang menawarkan sambungan Wi-Fi sahaja. Untuk pilihan RAM dan storan pula, tablet Samsung ini menawarkan pilihan dari RAM 3GB & storan 32GB, RAM 4GB & storan 64GB, dan RAM 4GB & storan 128GB.

Terdapat bateri berkapasiti 7,040mAh akan ditawarkan untuk tablet dengan sokongan pengecasan pantas. Cuma seberapa pantas itu tidak dapat pula maklumat mengenainya. Sebagai perbandingan, Galaxy Tab A7 10.4 (2020) mempunyai bateri berkapasiti 7,040mAh dengan pengecasan 15W.

Selain menawarkan empat pasang pembesar suara, tablet ini juga mempunyai bicu audio 3.5mm. Terdapat juga kamera 5MP pada sebelah hadapannya, berserta sebuah kamera 8MP pada bahagian belakangnya. Tablet ini juga dikatakan akan menawarkan fungsi nyahkunci pengecamana wajah dan juga pengimbas cap jari pada butang kuasanya.

Terdapat tiga pilihan warna iaitu Gold, Silver dan Gray dengan ukuran bagi tablet ini ialah 246.7 x 161.8 x 6.9 mm. Galaxy Tab A8 10.5 (2021) dijangka akan diumumkan pada 21 Oktober 2021 ini.

Tinggalkan komentar