Infinix secara rasminya telah mengesahkan tarikh pelancaran Infinix Note Edge untuk pasaran Malaysia pada 4 Februari ini. Pelancaran rasmi ini dijadualkan berlangsung antara jam 8:00 malam hingga 12:00 tengah malam pada tarikh tersebut.
Maklumat harganya masih belum diumumkan. Namun Infinix dalam pada masa yang sama telah berkongsi helaian spesifikasi untuk model tempatan.
Menurut maklumat spesifikasi yang dikongsikan, Infinix Note Edge menawarkan paparan visual yang berkualiti tinggi melalui skrin AMOLED bersaiz 6.78 inci. Paparan ini hadir dengan resolusi Full HD+ serta menyokong kadar segar semula (refresh rate) 120Hz untuk pengalaman penggunaan yang lebih lancar.
Di dalamnya peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Dimensity 7100. Bagi aspek memori dan storan, model yang akan tiba di Malaysia ini dilihat kekal dengan konfigurasi memori 8GB RAM dan storan dalaman sebesar 256GB.
Berikut adalah ringkasan spesifikasi utama Infinix Note Edge:
- Paparan: 6.78-inci AMOLED Full HD+, 120Hz
- Cip Pemproses: MediaTek Dimensity 7100
- Kamera Utama: 50MP + lensa sekunder (tidak dinyatakan)
- Kamera Swafoto: 13MP (rekaan punch-hole)
- Bateri: 6,500 mAh (jangkaan sokongan pengecasan 45W)
- Memori: 8GB RAM + 256GB Storan
Infinix Note Edge tampil dengan kelebihan bateri berkapasiti besar 6,500mAh sebagai daya penarik utamanya. Perincian penuh mengenai harga jualan runcit di Malaysia dijangka hanya akan diumumkan sewaktu acara pelancaran rasmi kelak.













