Kerajaan India telah mengarahkan para pembekal-pembekal perkhidmatan internet (internet service provider, ISP) supaya menyekat akses ke 857 laman-laman web lucah dari para pelanggan mereka. Nampaknya, sesetengah pengguna di India perlu mencari alternatif lain untuk menggantikan ‘hiburan’ ini.

Menurut laporan dari Washington Post, arahan sekatan terhadap laman-laman pornografi ini dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat untuk tindakan para ISP.

Antara pembekal-pembekal yang telahpun melaksanakan sekatan ini adalah BSNL, MTNL Mumbai, ACT dan Vodafone. Manakala pembekal-pembekal lain akan menyusul dalam waktu terdekat ini.

Ramai pihak di India menyambut baik langkah sekatan laman web ini memandangkan wujud kebimbangan dari golongan ibu bapa yang tidak mahu anak-anak terdedah dengan perkara maksiat sebegini pada usia muda.

Namun, tidak kurang juga yang bersikap pessimis terhadap langkah sekatan ini.


Akta Teknologi Maklumat India tahun 2000 melarang sebarang penerbitan dan penyebaran sebarang kandungan yang berunsur lucah atau lain-lain yang bertujuan merosakkan akhlak individu.

Pihak yang didapati bersalah menyebarkan dan menerbitkan kandungan lucah boleh dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya 5 tahun dan denda sehingga 10 lakh rupees (RM60,309).

Menurut seorang pegawai dalam satu laporan oleh Wall Street Journal, sekatan ini hanya sementara waktu sahaja dengan tujuan melarang kanak-kanak dari melayari laman lucah. Namun, wujud persepsi bahawa langkah ini cuma bertujuan politik sahaja kerana sekatan terhadap URL-URL tertentu tidak begitu berkesan kerana pengendali-pengendali dengan mudah mendaftarkan URL mereka dengan domain yang baru. Lagipun, pengguna-pengguna di India masih boleh mengakses ke laman web negara dengan menggunakan VPN.

India memiliki jumlah pengguna internet ketiga terbesar di dunia dengan jumlah sekitar 300 juta orang dan bilangan ini dijangka bertambah kepada 314 juta orang menjelang 2017.

-Imej diperoleh dari Zee News

1 komen

Tinggalkan komentar