Imej pengolokan Samsung Galaxy Tab S8 yang baharu tertiris di arena web melalui akaun Twitter, Evan Blass. Menerusinya, kita dapat melihat Galaxy Tab S8 11-inci, Tab S8+ 12.4-inci dan Tab S8 Ultra 14.6-inci.
Bagi varian 11-inci dan 12.4-inci bagi tablet ini, reka bentuk kedua-duanya kelihatan mirip dengan Galaxy Tab S7. Tetapi, untuk varian 14.6-inci Tab S8 ini, ia menampilkan paparan yang bertakuk pada sebelah atasnya.
Turut kelihatan dua kamera swafoto disediakan pada bahagian takuk Tab S8 14.6-inci berkenaan dengan bingkainya juga lebih tipis berbanding dua varian lagi di dalam siri ini. Takuk pada Tab S8 14.6-inci ini juga kelihatan agak padat jika dibandingkan dengan peranti lain seperti MacBook Pro.
Ketiga-tiga varian Samsung Galaxy Tab S8 ini dijangka akan menampilkan paparan AMOLED 120Hz bersama-sama cipset Snapdragon 8 Gen 1. Turut diperkatakan, bateri yang bakal digunakan oleh tablet ini berkapasiti 12,000mAh dengan sokongan pengecasan sehingga 45W.













