Menjelang pelancaran rasminya, maklumat tertiris mengenai Samsung Galaxy S26 Ultra semakin tersebar luas. Terkini, Android Headlines mendakwa telah menemukan imej promosi rasmi dan spesifikasinya.

Menurutnya, terdapat perubahan yang ketara pada reka bentuk serta kuasa pemprosesan telefon pintar mercu Samsung keluaran tahun ini tersebut.

Paling ketara pada Galaxy S26 Ultra adalah pada bahagian belakangnya. Berbeza dengan S25 Ultra sebelum ini yang menggunakan rekaan lensa individu, model baharu ini dilihat menggunapakai modul kamera berbentuk “pil” atau pulau kamera yang menyatukan lensa-lensa tersebut.

Selain itu, sisi peranti kini lebih rata dengan bucu yang lebih membulat, menjadikannya lebih selesa untuk digenggam berbanding rekaan kotak yang berbucu sebelum ini. Telefon pintar ini dikatakan akan hadir dalam dua warna utama iaitu Cobalt Violet dan Black.

Dari segi paparan, ia masih mengekalkan skrin 6.9 inci QHD+ Dynamic AMOLED. Bezanya ia kini dilengkapkan dengan teknologi “Privacy Display” yang mengehadkan sudut pandangan untuk menjaga privasi pengguna.

Spesifikasi Prestasi dan Kamera

Imej pengolokan dari Android Headlines

Di dalamnya, Galaxy S26 Ultra dikuasakan oleh cip pemprosesan terkini, Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5. Ia menjanjikan prestasi lebih efisien. Berikut adalah ringkasan spesifikasi utama yang dilaporkan:

  • Pemproses: Snapdragon 8 Elite Gen 5
  • Skrin: 6.9-inci QHD+ Dynamic AMOLED (1-120Hz) dengan Privacy Display
  • Kamera Utama: 200MP (f/1.4)
  • Kamera Ultra-lebar: 50MP
  • Kamera Telefoto: 50MP (5x zum) dan 10MP (3x zum)
  • Bateri: 5,000mAh dengan pengecasan pantas berwayar 60W
  • Perisian: Android 16 dengan antaramuka One UI 8.5

Menurut Android Headlines, peningkatan kuasa pengecasan kepada 60W merupakan satu lonjakan yang dinanti-nantikan. Hal ini kerana Samsung telah lama kekal dengan pengecasan 45W.

Kapasiti baterinya pula dikatakan masih kekal pada 5,000mAh. Namun dengan kecekapan cip baharu ini kelak, ia dijangka mampu memanjangkan hayat penggunaan peranti.

Kesahihan maklumat ini bagaimanapun tidak perlu untuk kita tunggu lama sebelum pengumuman rasmi daripada Samsung. Acara Unpacked yang dijadualkan pada hujung bulan ini kelak dijangka dapat merungkai teka-teki mengenai siri Galaxy S26 termasuk ketersediaannya di pasaran Malaysia.

Tinggalkan komentar