Firma kajian pasaran yang popular, IDC telah menerbitkan laporannya untuk suku tahun keempat 2018 (4Q2018). Laporan tersebut turut menyertakan jumlah penghantaran untuk jualan sepanjang tahun 2018.

Berdasarkan laporan, jumlah jualan telefon pintar di seluruh dunia sepanjang 2018 mengalami kemerosotan. Bagaimanapun, pengeluar seperti Huawei, Xiaomi dan Oppo dilihat mampu meningkatkan jumlah penghantaran untuk jualan masing-masing.

Untuk tempoh yang sama, Samsung menjual sebanyak 70.4 juta unit (18.7%). Merosot jika dibandingkan dengan suku tahun keempat tahun 2017 yang mencatatkan 74.5 juta (18.9%).

Apple menghuni di tangga kedua dengan mencatatkan 68.4 juta unit jualan dengan penguasaan pasaran 18.2 peratus. Penurunan jumlah unit dan peratusan pengusaan pasaran turut dialami oleh Apple berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya – 77.3 juta unit dan 19.6% penguasaan pasaran.

Jumlah jualan Huawei pula dilihat kurang berbanding Samsung dan Apple. Namun, mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dari tempoh yang sama. Pengeluar telefon pintar dari China ini mencatatkan jualan sebanyak 60.5 juta unit – peningkatan sebanyak 18.4 juta unit berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Selain itu, Huawei juga meningkatkan peratusan pengusaan pasaran dari 10.7% kepada 16.1%.

Oppo dan Xiaomi turut sama menghuni kedudukan lima teratas pengeluar telefon pintar dengan masing-masing mencatatkan 29.2 juta unit dan 28.6 juta unit jualan.

Jumlah keseluruhan jualan pada tahun 2018 mendedahkan lebih banyak maklumat berkenaan prestasi keseluruhan jualan mengikut pengeluar-pengeluar telefon pintar.

Samsung mencatatkan jumlah jualan sebanyak 292.3 juta unit dengan penguasaan sebanyak 20.8% menjadikannya pengeluar telefon pintar terbesar di dunia. Bagaimanapun, jumlah jualan Samsung pada tahun 2017 lebih besar iaitu sebanyak 317.7 juta dan mencatatkan peratus penguasaan yang lebih besar, 21.7%.

Apple menjual 208.8 juta unit bagi menjadikannya di tempat kedua. Sungguhpun syarikat pengeluar yang berpangkalan di Cupertino in menjual lebih banyak unit pada tahun 2017 (215.8 juta), Apple mencatatkan peningkatan penguasaan pasaran sebanyak 0.2% pada 2018 menjadikan keseluruhannya 14.9%.

Huawei mencatatkan peningkatan paling mendadak sepanjang tahun 2018 walaupun berdepan pelbagai kesukaran pada tahun tersebut. Pada tahun 2017, Huawei mencatatkan jualan sebanyak 154.2 juta unit menguasai 10.50 peratus dari keseluruhan pasaran. Menjelang penghujung 2018, penguasaan pasarannya melonjak ke 14.7% dan jumlah jualan keseluruhannya 206 juta unit.

Xiaomi pintas Oppo dan Vivo

Xiaomi turut mencatatkan prestasi yang memberangsangkan sepanjang tahun 2018 dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 122.6 juta unit, melonjak dari 92.7 juta unit pada tahun sebelumnya. Penguasaan pasarannya turut meningkat sebanyak 2.4 peratus. Ini sudah mencukupi untuk menolak Oppo ke tangga ke-5 dan ‘adiknya’ Vivo ke tangga ke-6.

Jumlah keseluruhan jualan telefon pintar tahun 2018 adalah sebanyak 1.404 billion unit, merosot sebanyak 4.1% berbanding tahun 2017. Pihak IDC menyatakan faktor kemerosotan ini adalah disebabkan oleh kitaran penggantian yang lebih panjang, masalah ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia, peningkatan harga, dan ketidakpuasan hati pelanggan.

Pengeluar turut dicadangkan supaya menyeimbangkan ciri-ciri pada telefon pintar, meningkatkan mutu reka bentuk dan mengkaji semula harga untuk sesebuah peranti. Firma kajian pasaran berkenaan turut menjangkakan kehadiran teknologi 5G serta telefon pintar boleh lipat mampu memberikan nafas baru di dalam industri pengeluaran telefon pintar global pada tahun 2019 ini.

Sumber berita diperoleh dari IDC

Tinggalkan komentar