Huawei telah memperkenalkan siri telefon pintar Y terbarunya, Huawei Y7p. Telefon pintar siri terbaru ini hadir dengan harga yang lebih rendah berbanding harga model Y9s ketika pelancarannya.
Huawei Y7p hadir dengan paparan berpenebuk lubang 6.39-inci HD+, dan pengimbas cap jari di bahagian belakangnya. Di dalamnya pula, ia dilengkapkan dengan cipset Kirin 710F, RAM 4GB dan storan dalaman 64GB yang boleh diperingkat kepada 512GB melalui kad mikroSD. Bateri yang dibekalkan berkapasiti 4000mAh, dan boleh dicaskan melalui kabel mikro-USB.
Kamera utamanya menyediakan tetapan kombo tri-kamera 48MP + 8MP + 2MP. Manakala kamera swafoto 8MP ditempatkan pada bahagian paparan berpenebuk lubang di penjuru atas kanannya.

Dari segi perisiannya, telefon pintar terbaru Huawei ini menggunakan antara muka EMUI 9.1.1 yang berasaskan Android 9 Pie. Selain itu, ia tidak menggunakan Google Play Services. Sebaliknya, ia menggunakan Huawei Mobile Services.
Huawei Y7p dijual pada harga RM699 di pasaran Malaysia. Kunjungi kedai dalam talian Huawei untuk maklumat lanjut dan pembelian telefon pintar terbaru keluaran Huawei ini.













