Di dalam Sidang Kemuncak G20 yang berlangsung baru-baru ini, Presiden Donald Trump mengumumkan syarikat-syarikat A.S. dibenarkan kembali menjual produk-produk Huawei. Produk-produk yang digunakan secara meluas termasuk mikrocip turut kembali dibenarkan dalam urusniaga dengan syarikat elektronik dari China berkenaan.
Bagaimanapun, Huawei buat masa ini masih menunggu kata putus dari Jabatan Perdagangan A.S. mengenai kebenaran untuk menggunakan perkhidmatan gedung Google Play, Android dan perisian berkaitan secara rasmi.
Selain itu, penangguhan pengharaman untuk tempoh 90 hari masih lagi berkuatkuasa pada masa ini. Secara tidak langsung, memberikan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk Jabatan Perdagangan A.S. memberikan keputusan rasminya. Pada masa yang sama, Huawei dan rakan-rakan dagangnya sedang melobi untuk menghentikan pengharaman ini.
Sungguhpun jika pengharaman ini ditarik semula sebelum tempoh penangguhan tersebut tamat iaitu pada 19 Ogos ini, kesannya sudah dialami terhadap produk-produk Huawei yang bakal dipasarkan. Antaranya, laptop terbaru MateBook telah ditangguhkan pelancarannya manakala telefon pintar boleh lipat Mate X pula mengalami masalah pada pembangunannya akibat isu pada penggunaan teknologi 5G.
Untuk pembangunan sistem operasi Huawei pula iaitu Ark OS, ia dijangkakan bakal diteruskan walaupun selepas kembali dibenar menggunakan Android sebagai langkah persediaan bagi menghadapi kemungkinan insiden seperti ini terjadi lagi di masa depan.
Sumber berita diperoleh dari Reuters












