Huawei melaporkan pihaknya bersedia untuk menandatangani “perjanjian tiada pengintipan” dengan Amerika Syarikat, rentetan dari perang perdagangan terhadap China oleh pentadbiran Presiden Trump. Pengerusi Huawei, Encik Liang Hua, menyatakan kesediaan pihaknya untuk ke meja rundingan dan segalanya bergantung dengan keputusan oleh sistem kehakiman A.S.
Dalam satu wawancaranya dengan wartawan AS, Hua menegaskan selepas arahan larangan tersebut dikuatkuasakan, Amerika Syarikat telah menghentikan segala bentuk urus niaga dengan pihaknya. Kemungkinan besar, rundingan damai dalam waktu terdekat ini adalah tipis.
Hua turut menuduh Amerika Syarikat “bertindak di luar kewajaran”, kerana menggunakan pengaruh politik untuk mencampuri perkembangan industri.
Awal bulan lalu, pentadbiran Presiden Trump telah menandatangani perintah eksekutif yang mengharamkan syarikat A.S. dari menggunakan peralatan telekomunikasi 5G tertentu keluaran China 5G. Walaupun tidak menjelaskannya secara terang-terangan, larangan tersebut jelas disasarkan kepada Huawei.
Larangan tersebut turut melumpuhkan sumber bekalan perkakasan Huawei daripada syarikat berpangkalan di A.S seperti Intel, Qualcomm, ARM, Micron dan lain-lain. Google juga memberhentikan urusniaganya dengan syarikat China berkenaan buat sementara waktu termasuk membatalkan aksesnya ke perkhidmatan Android.
Huawei pula bertindak balas dengan larangan berkenaan dengan melaksanakan arahan sekatannya sendiri, termasuk mengurangkan pesanan pengeluaran telefonnya dari syarikat Foxconn yang berpangkalan di Taiwan. Malah, pihaknya juga telah mengarahkan kakitangannya untuk membatalkan perjumpaan mereka dengan kenalan-kenalan mereka dari Amerika dan juga menghantar pulang kakitangannya yang berwarga A.S.
Ketegangan hubungan antara A.S. dan Huawei ini sudah pun bermula pada tahun 2018 apabila kerajaan A.S mengeluarkan waran tangkapan terhadap CFO Huawei, Meng Wanzhou. Beliau pada ketika itu didakwa telah melanggar perintah sekatan perdagangan A.S terhadap Iran.
Sumber berita diperoleh dari NPR













