Selain dari P50 Pocket, Huawei turut melancarkan P50 Pro di pasaran tempatan pada minggu lepas. Telefon berkenaan pada asalnya telah diumumkan diChina pada Julai tahun lepas sebelum ia diperkenalkan pula ke Malaysia.
Sama seperti P50 Pocket, P50 Pro varian Malaysia dilengkapkan dengan Qualcomm Snapdragon 888 4G bersama-sama RAM 8GB dan storan dalaman 256GB.
Telefon dengan persijilan IP68 ini juga memiliki paparan OLED 6.6-inci beresolusi natif 2700 x 1228. Ia juga memiliki kadar penyegaran semula 120Hz, dan kadar pensampelan sentuhan 300Hz. Pada sebelah hadapannya juga menempatkan kamera swafoto 13MP f/2.4 berfokus auto.
Bercakap mengenai fotografinya, P50 Pro juga dilengkapkan dengan empat buah kamera pada belakangnya. Salah satunya, kamera True-Chroma 50MP f/1.8 berperanan sebagai kamera utamanya.
Dalam pada masa yang sama, Huawei juga menyediakan sebuah lagi kamera True-Chroma. Cuma bezanya, kamera ini berperanan untuk mengambil imej dalam monokrom melalui sensor 40MP f/1.6.
Selain itu, modul kamera belakang P50 Pro turut menyertakan kamera ultra lebar 13MP f/2.2. Serta kamera telefoto berperiskop 64MP f/3.5 yang membolehkan ia melakukan zum maksimum sehingga 200x.
Melengkapkan spesifikasinya, sebuah bateri berkapasiti 4,360mAh yang menyokong pengecasan berwayar Huawei SuperCharge 66W dan pengecasan nirwayar SuperCharge 50W.
Pada harga RM4,199, P50 Pro ini kini boleh dipra-tempah di Malaysia sehingga 21 Januari ini. Pelanggan yang melakukan pra-tempahan bakal menerima Huawei Watch GT 2 Pro bersama-sama sekali penggantian skrin percuma yang boleh digunakan dalam tempoh tiga bulan selepas pembelian. Turut ditawarkan baucar percuma bernilai RM725 dari Huawei Mobile Services dan rakan bersama Huawei.













