Utama Android Huawei Huawei P50 Pocket dilancarkan di Malaysia; Pra-tempahan bermula 22 Januari ini, harga...

Huawei P50 Pocket dilancarkan di Malaysia; Pra-tempahan bermula 22 Januari ini, harga dari RM5,999

Pembeli terawal melalui pra-tempahan bakal menerima Huawei Watch 3 percuma

43
0

Huawei pada hari ini telah melancarkan P50 Pocket secara rasminya ke pasaran Malaysia. Sebelum ini orang ramai telah pun dipertontonkan dengan telefon berkenaan di Huawei Experience Stores di seluruh negara.

Telefon ini dilengkapkan dengan cipset Qualcomm Snapdragon 888 tanpa 5G. Seperti yang dijangkakan, telefon boleh lipat gaya flip ini mempunyai dwi-paparan.

Paparan utamanya menawarkan skrin OLED 6.9-inci beresolusi natif 2790 x 1188 dan kadar penyegaran semula 120Hz bersama-sama kamera hadapan 10.7 MP. Manakala skrin OLED luarannya pula hadir dengan bentuk bulatan berukuran 1.04-inci. Menurut Huawei, paparan telefon pintar ini tidak menampakkan jarak antara kedua-dua belah paparannya apabila lipatannya dibuka.

Selain itu, Huawei P50 Pocket juga mempunyai sebuah kamera utama 40MP dan diiringi oleh kamera ultra-lebar 13MP dan kamera Ultra Spectrum 32MP. Kesemua kamera ditempatkan di dalam modul bulatan yang turut menyertakan sensor berbilang spektrum 10 saluran dan sistem autofokus berlaser.

Melengkapkan spesifikasi umumnya, bateri berkapasiti 4,000mAh yang turut menyokong pengecas Huawei SuperCharge 40W.

Model standard telefon ini didatangkan bersama-sama RAM 8GB dan storan dalaman 256GB pada harga RM5,999. Untuk Premium Edition yang berwarna keemasan pula, ia hadir dengan RAM 12GB dan storan dalaman 512GB pada harga RM7,999.

Bagi pasaran Malaysia, Huawei P50 Pocket akan mula membuka pra-tempahannya bermula dari 22 Januari sehingga 13 Februari ini.

Pelanggan yang melakukan pra-tempahan akan menerima satu set cenderahati percuma. Ia meliputi barangan berbentuk Huawei Watch 3, waranti tambahan setahun, dan baucer bernilai sehingga RM725 yang boleh digunakan di Huawei Mobile Services dan rakan niaga Huawei terpilih.

Pra-tempahan boleh dibuat menerusi Huawei e-Store, Lazada, dan Shopee secara dalam talian. Atau secara fizikal di Senheng, dan Huawei Experience Stores di seluruh negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.