Huawei Malaysia telah mengumumkan penambahan terkini siri nova Y ke pasaran tempatan pada 15 Julai 2022. Dikenali sebagai nova Y90, ia merupakan telefon pintar peringkat menengah yang dilengkapkan dengan cipset Snapdragon 680, paparan besar, kamera utama dan banyak lagi.
Telefon pintar baharu Huawei ini menampilkan paparan LCD rata 6.7-inci dengan kamera ditengah-tengahnya dengan dikelilingi oleh bingkai yang nipis. Cuma bahagian bawah bingkainya sahaja yang kelihatan agak tebal.
Selain itu, paparan ini juga menampilkan resolusi FHD+ (1080 x 2388 piksel), kadar penyegaran semula 90 Hz dan kadar pensampelan sentuhan 270Hz. Telefon pintar ini juga didatangkan dengan pengimbas jari pada sebelah sisinya, port USB-C untuk mengecas dan memindahkan data, serta bicu audio 3.5mm.
Kuasa Snapdragon 680
Huawei nova Y90 menggunakan cipset Snapdragon 680 yang hanya menyokong rangkaian 4G sahaja. Cipset berkenaan turut disokong dengan GPU Adreno 610, RAM 8GB dan storan dalaman 128GB. Bagaimanapun, tidak seperti telefon pintar lain yang ditawarkan dalam lingkungan harga yang sama dengannya, telefon ini tidak menyediakan slot penambahan storan melalui kad mikroSD.
Selain itu, telefon pintar ini juga menggunakan sistem operasi EMUI 12 dengan sokongan ketersambungan lain seperti Wi-Fi, Bluetooth 5.0 dan NFC. Untuk baterinya pula Huawei nova Y90 didatangkan dengan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 40W melalui kabel. Menurut Huawei, pengecasan selama 30 minit mampu memenuhkan kapasitinya sehingga 50%.
Bahagian belakang telefon ini menampilkan bentuk bulatan yang menempatkan kameranya, mirip dengan Huawei Mate 40. Kamera-kamera pada bahagian belakangnya ini terdiri daripada kamera utama 50MP f/1.8, kamera makro 2MP f/2.4, dan kamera berkedalaman 2MP f/2.4. Manakala kamera hadapannya pula menyediakan sebuah kamera 8MP f/2.0.
Huawei nova Y90 akan dijual pada harga RM999 dan ditawarkan dalam pilihan warna Blue, Green dan Midnight Black. Telefon pintar baharu dari Huawei ini akan mula dijual di Malaysia pada Jumaat, 15 Julai ini melalui laman web rasmi dan juga kedai-kedai rasmi Huawei di seluruh negara.













