Diumumkan bersama-sama Huawei Mate Xs 2 pada bulan lepas, Huawei nova Y70 kini mula dijual di pasaran Malaysia. Ia merupakan telefon pintar peringkat pemula terkini yang menampilkan cipset buatan Huawei sendiri, skrin yang lebih besar serta kapasiti bateri yang juga lebih besar.
Paparan Huawei nova Y70 menampilkan paparan LCD TFT 6.75-inci beresolusi HD+ 1600 x 720 piksel. Turut disediakan butang kunci/kuasa dengan sokongan imbasan cap jari, pembesar suara dan bicu audio 3.5mm.
Menariknya, Huawei tidak menyatakan cipset apakah yang digunakan pada telefon pintar ini. Kemungkinan besar Huawei nova Y70 menggunakan cipset lapan teras 7nm Kirin 710 yang menyokong sambungan 4G LTE. Bergandingan dengan RAM 4GB dan storan dalaman sehingga 128GB bersama-sama sokongan slot kad mikroSD sehingga 512GB, telefon pintar ini menggunakan antaramuka Huawei EMUI 12.
Menurut Huawei, telefon pintar yang menggunakan bateri berkapasiti 6,000mAh ini hanya memerlukan dicaskan sebanyak dua kali sahaja untuk bertahan selama seminggu. Huawei nova Y70 juga menyokong SuperCharge 22.5W yang dikatakan mampu memberikan masa tontonan video sehingga tiga jam walaupun dicaskan dalam tempoh 10 minit sahaja.
Untuk pengimejannya, telefon ini menyediakan tri-kamera pada bahagian belakangnya. Ia mengandungi kamera utama 48MP f/1.8, satu kamera ultra-lebar 120 darjah 5MP f/2.2 dan kamera berkedalaman 2MP f/2.4. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 8MP f/2.0.
Huawei nova Y70 dijual pada harga RM699 bagi konfigurasi RAM 4GB dan storan 128GB di Malaysia dengan pilihan warna yang terdiri daripada Crystal Blue, Pearl White, dan Midnight Black.
Anda boleh mendapatkannya sekarang di laman web rasmi Huawei Malaysia, Huawei Experience Stores, serta kedai dalam talian rasminya di Lazada dan Shopee.













