Huawei Nova 2 Plus bakal hadir tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi sekitar bulan Ogos ini. Telefon pintar ini merupakan jawapan Huawei kepada trend kamera swafoto yang kian ‘membiak’ sejak akhir-akhir ini dengan menampilkan kamera hadapan 20 MP. Bukan itu sahaja, ia turut disokong dengan sistem dwi-kamera pada kamera belakangnya (tetapan 12MP + 8MP) serta lain-lain ciri menarik untuk sesebuah kamera telefon pintar.

Penggemar swafoto pastinya dapat memanfaatkan teknologi pengecaman wajah 3D dan Professional Portrait Mode. Menurut Huawei, ini membolehkan algoritma di dalam sistem membezakan di antara jenis kulit dan teksturnya dengan pada masa yang sama mampu menghasilkan potret yang lebih realistik dan semula jadi.

Selain itu, fungsi Moving Picture yang ditawarkan pada Huawei Nova 2 Plus memudahkan pengguna menghasilkan foto-foto bergerak seperti imej-imej GIF.

Seterusnya, tetapan dwi-kamera pada telefon pintar ini tidak sama seperti yang ditawarkan oleh siri Huawei P10. Kamera belakang Huawei Nova 2 Plus menyediakan tetapan satu lensa bersudut luas (12MP) dan satu lensa telefoto (8MP).

Hadir dengan pilihan warna Graphite Black, Aurora Blue dan Prestige Gold, telefon pintar ini masih belum dinyatakan harganya dari pihak Huawei setakat ini.

Sumber berita diperoleh dari Facebook Huawei

 

Tinggalkan komentar