Huawei dijadualkan akan melancarkan tablet baharunya MatePad 11.5 Papermatte Edition 2025 dalam tempoh seminggu lagi, pada 19 Ogos 2025.
Dari segi spesifikasi, MatePad 11.5 Papermatte Edition 2025 menggunakan pemprosesan lapan teras buatan Huawei sendiri Kirin 8020. Ia juga mempunyai RAM 8GB dan pilihan storan dalaman 128GB atau 256GB.
Skrinnya pula merupakan paparan Papermatte Edition 11.5-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 600 nits. Selain itu ia mempunyai resolusi maksimum 1600 x 2456 piksel, ketumpatan piksel 256 PPI dan juga sokongan stylus.
Dari segi sokongan pengimejannya, ia mempunyai kamera utama 13MP f/1.8, dan kamera hadapan 8MP. Lain-lain spesifikasinya pula merangkumi sokongan Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, dan pengecasan melalui port USB-C 2.0.
Turut disediakan, bateri berkapasiti 10.100mAh yang berupaya menyokong pengecasan 40W. Setakat ini tidak dinyatakan sama ada ia menyokong pengecasan secara nirwayar atau tidak. Namun, diketahui ia menyokong pengecasan berbalik 5W melalui wayar.
Harga rasminya di pasaran Malaysia akan diketahui pada 19 Ogos nanti. Huawei kini membuka pra-tempahan untuk MatePad 11.5 Papermatte Edition 2025 bermula dari sekarang sehingga 18 Ogos 2025. Anda yang berminat boleh menyediakan deposit RM50 untuk pra-tempahan secara dalam talian, atau RM100 jika ingin hadir secara fizikal di Huawei Experience Store, laman web rasmi, atau kedai rasminya di Lazada, Shopee, atau TikTok. Pra-tempahan juga berpeluang untuk menerima hadiah percuma eksklusif bernilai sehingga RM698.