Menjelang akhir tahun, Huawei telah melancarkan tablet terbaharunya, MatePad 11.5 (2026) secara rasmi di pasaran China pada 25 Disember.
Walaupun mengekalkan reka bentuk fizikal yang serupa dengan model terdahulu, peranti edisi 2026 ini membawakan beberapa peningkatan spesifikasi dalaman serta penambahbaikan kecil yang relevan.
Dari segi paparan, tablet ini masih mengekalkan skrin bersaiz 11.5 inci dengan resolusi 2,456 x 1,600 piksel serta kadar segar semula 120Hz. Huawei menawarkan dua variasi untuk pengguna iaitu model biasa dan model “Soft Light”. Variasi Soft Light didatangkan dengan lapisan anti-silau khusus untuk keselesaan mata.
Kuasa pemprosesan tablet ini digerakkan oleh cip Kirin T82, namun terdapat perbezaan konfigurasi memori mengikut model. Versi asas dilengkapi dengan memori (RAM) 8GB dan storan 128GB. Manakala, model Soft Light menawarkan spesifikasi yang lebih tinggi dengan pilihan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman mencecah 256GB.
Selain itu, kedua-dua variasi tablet ini dijana oleh bateri berkapasiti besar 10,100mAh yang menyokong pengecasan pantas 40W. Peranti ini beroperasi menggunakan sistem operasi HarmonyOS 5.1 yang turut menyertakan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI), termasuk sistem AI Health Learning 2. Untuk ketersambungan dan multimedia, ia dilengkapi dengan Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, serta sistem empat pembesar suara.
Bagi aspek pengimejan, MatePad 11.5 (2026) hadir dengan kamera belakang 13MP dan kamera swafoto 8MP. Pengguna di China boleh memilih daripada empat warna menarik iaitu Deep Space Grey, Frost Silver, Feather Sand Purple, dan Island Blue.
Berikut adalah senarai harga jualan di China mengikut konfigurasi:
- Versi Asas (8GB + 128GB): CNY1,799 (~RM1,038)
- Versi Soft Light (8GB + 128GB): CNY2,099 (~RM1,211)
- Versi Soft Light (8GB + 256GB): CNY2,299 (~RM1,327)
- Versi Soft Light (12GB + 256GB): CNY2,799 (~RM1,616)
Buat masa ini, Huawei MatePad 11.5 (2026) hanya tersedia untuk pasaran China bermula 25 Disember. Belum ada maklumat rasmi mengenai tarikh ketersediaan peranti ini untuk pasaran antarabangsa, termasuk Malaysia.













