Telefon pintar boleh lipat baharu di pasaran, Huawei Mate Xs 2 kini secara rasminya diperkenalkan di pasaran Malaysia. Model terkini ini merupakan peranti boleh lipat kedua dari Huawei di Malaysia selepas Huawei P50 Pocket awal tahun ini.

Huawei Mate Xs 2 menggunakan cipset Snapdragon 888 versi 4G bersama-sama RAM 8GB dan storan dalaman 512GB. Dilengkapkan dengan paparan 7.8-inci OLED 120Hz beresolusi 2480 x 2200, ia boleh dilipatkan menjadi skrin 6.5-inci dengan resolusi 2480 x 1176.

Sungguhpun mempunyai saiz yang besar kerana sifat boleh lipatnya, telefon pintar ini hanya seberat 255 gram. Bersama-sama rekaan unik Falcon Wing Hinge, Huawei mendakwa Mate Xs 2 mempunyai 2.5 kali lebih lasak apabila terjatuh berbanding Mate Xs keluaran tahun 2020.

Pada bahagian belakangnya, telefon ini membawakan satu kamera utama 50MP f/1.8 bersama-sama kamera ultra-lebar 13MP f/2.2 dan kamera telefoto 8MP f/2.4. Huawei Mate Xs 2 juga mempunyai kamera swafoto 10.7MP f/2.2 pada penjuru atas kanan skrinnya. Dalam pada masa yang sama, pengguna juga boleh menghidupkan mod paparan sekunder dan memanfaatkan tiga kamera belakangnya untuk mengambil swafoto.

Telefon pintar boleh lipat Huawei ini menggunakan bateri 4,600mAh dan turut menyediakan sokongan pengecasan Huawei SuperCharge 66W. Dari segi harganya, Huawei Mate Xs 2 berharga RM7,999 dan ia lebih rendah jika dibandingkan dengan Mate Xs yang berharga RM11,111 ketika dilancarkan pada tahun 2020.

Pra-tempahan Huawei Mate Xs 2 mula dibuka dari 3 hingga 23 Jun ini melalui Huawei Malaysia eStore dan juga kedai rasminya di Lazada dan Shopee. Turut ditawarkan Huawei Watch GT 2 Pro secara percuma bagi anda yang melakukan pra-tempahan telefon pintar boleh lipat Huawei ini. Anda juga boleh merasai sendiri pengalaman menggunakan Huawei Mate Xs 2 secara fizikal di kedai-kedai Harvey Norman, Senheng dan senQ di seluruh negara.

 

Tinggalkan komentar