Huawei Mate 50 dan Mate 50 Pro secara rasminya telah dilancarkan di pasaran Malaysia selepas pra-tempahannya mula dibuka sejak dari bulan lepas. Sebelum ini, telefon pintar mercu terkini keluaran Huawei ini turut hadir di beberapa lokasi terpilih Huawei Experience Store untuk membolehkan para peminat melihatnya dengan lebih dekat.
Huawei Mate 50 Pro
September lalu, siri Huawei Mate 50 telah dilancarkan di pasaran China dengan model Pro didatangkan dengan skrin OLED 6.74-inci beresolusi 2616 x 1212 dan kadar penyegaran semula 120Hz.
Melalui penggunaan pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1, telefon pintar ini turut menawarkan RAM 8GB bersama-sama pilihan storan 256GB dan 512GB. Ia juga menampilkan kamera utama 50MP Ultra Aperture dengan OIS, kamera ultra lebar 13MP, dan kamera telefoto 64MP. Manakala sebelah hadapannya pula disediakan kamera ultra lebar 13MP bersama-sama sokongan kedalaman 3D bagi memberikan kesan bokeh.
Telefon pintar dengan penarafan kerintangan air dan debu IP68 ini juga menawarkan sokongan teknologi Huawei SuperCharge 66W untuk mengecaskan baterinya yang berkapasiti 4,700mAh.
Huawei Mate 50
Seterusnya untuk Huawei Mate 50 pula, ia turut menampilkan pemprosesan yang sama iaitu Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 bersama-sama RAM 8GB dan storan 256GB. Telefon pintar ini juga menampilkan skrin OLED 6.7-inci beresolusi 2700 x 1224 dan kadar penyegaran semula 90Hz.
Kameranya juga lebih kurang sama dengan model Pro. Namun terdapat sedikit kekurangan kerana ketiadaan OIS dan kamera telefotonya sekadar 12MP sahaja. Begitu juga bagi kamera ultra lebar 13MP hadapapnnya yang tidak menawarkan ciri fotografi berkedalaman 3D bagi menghasilkan kesan khas bokeh seperti model Pro.
Lain-lain ciri juga tidak jauh bezanya seperti penarafan IP68, dan teknologi Huawei SuperCharge 66W untuk mengecaskan baterinya yang berkapasiti 4,460mAh.
Kedua-dua model ini hadir dengan pilihan warna Black dan Silver. Cuma untuk model Pro, turut ditawarkan dengan satu lagi pilihan warna edisi khas Orange Vegan Leather yang turut didatangkan dengan storan yang lebih besar 512GB.
Harga Huawei Mate 50 dan Huawei Mate 50 Pro di Malaysia
Anda yang membuat pra-tempahan untuk kesemua model Mate 50 ini akan turut diberikan sebuah Huawei Watch GT 2 Pro dan waranti skrin 3 bulan secara percuma. Pra-tempahan boleh dibuat bermula dari hari ini sehingga 11 November menerusi laman web rasmi Huawei Malaysia serta di Shopee dan Lazada selain melalui wakil-wakil pengedar yang sah.
- Huawei Mate 50 (RAM 8GB, storan 256GB) – RM3,699
- Huawei Mate 50 Pro (RAM 8GB, storan 256GB) – RM4,499
- Huawei Mate 50 Pro Orange Vegan Leather (RAM 8GB, storan 512GB) – RM5,299













