Huawei secara rasminya telah mengumumkan tarikh pelancaran telefon pintar terbarunya, Huawei Mate 20 pada 16 Oktober 2018. Telefon pintar ini merupakan kesinambungan dari Huawei Mate 10 yang dilancarkan pada tahun lepas.

Pengumuman ini dibuat oleh Huawei melalui akaun Twitter rasmi Huawei. Berdasarkan imej iklan acah yang dikongsikan melalui akaun media sosial berkenaan, dapat dibayangkan kemungkinan peranti yang dimaksudkan menyediakan paparan nirbingkai.

Turut dikongsikan, telefon pintar terbaru Huawei tersebut juga dilaporkan akan menggunakan chipset terbaru dan terbaik Huawei setakat ini – Kirin 980.

Selain dari pemprosesannya, Huawei Mate 20 juga dijangkakan akan menempatkan tetapan kamera ganda tiga untuk digunakan pada kamera utamanya, sama seperti yang digunakan oleh telefon pintar mercu semasa Huawei, P20 Pro. Selain itu, desas-desus turut mengatakan bahawa Mate 20 ini bakal menjadi telefon pintar Huawei pertama yang menyediakan fungsi pengimbas cap jari atas skrin.

Pihak Huawei setakat ini masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan perkakasan Huawei Mate 20.

Sumber berita diperoleh dari Twitter Huawei.

Tinggalkan komentar