Google baru-baru ini telah mengumumkan keputusannya untuk menghentikan sebarang urus niaga dengan Huawei. Bagaimanapun, pembangun sistem operasi Android berkenaan memaklumkan pengguna peranti Huawei sedia ada masih lagi boleh menggunakan aplikasi dan perkhidmatan Google seperti biasa dalam tempoh terdekat ini.
Disampaikan melalui akaun Twitter rasmi Android petang semalam, Google menyatakan langkah tesebut dilakukan bagi mematuhi Arahan Eksekutif yang dikeluarkan oleh Presiden Trump yang pada dasarnya mengharamkan Huawei untuk beroperasi dan bekerja dengan syarikat-syarikat di A.S.

Pun begitu, Google masih belum lagi memperincikan sekatan yang akan dibuat terhadap Huawei. Menurut Reuters dan The Verge, peranti-peranti Huawei akan kehilangan akses kepada kemas kini Android dengan serta-merta. Selain itu, peranti Huawei akan datang juga tidak lagi dimuatkan dengan aplikasi Play Store, Gmail, dan juga Play Services.
Akses Google Play membolehkan aplikasi akan terus mendapat kemas kini dan pengguna Huawei masih boleh terus memuat turun aplikasi yang baru. Sementara itu, Gmail, Google Maps, Search, Assistant, dan aplikasi Google yang lain masih lagi boleh berfungsi. Play Protect yang bertanggungjawab memastikan malware tidak dipasang pada peranti, dan mungkin menerima kesan yang lebih besar memandangkan peranti Huawei tidak lagi mendapat kemas kini sistem operasi yang lebih terkini nanti.
Pengguna Huawei mungkin tidak merasakan sebarang perubahan ketara dalam masa terdekat ini. Namun, hal ini boleh berubah di masa depan kerana Google dilaporkan tidak dapat lagi menyediakan sokongan untuk jurutera-jurutera Huawei atau bekerjasama dalam projek-projek akan datang.
Memandangkan Huawei adalah pengeluar telefon pintar kedua terbesar di dunia, jaminan dari Google sebegini penting buat pengguna-penggunanya. Walaupun peranti-peranti keluaran China tidak meluas penggunaannya di A.S., jumlah penggunanya jauh lebih ramai di seluruh pelusuk dunia. Semua peranti-peranti Huawei yang dijual di luar negara China menggunakan Play Store dan mempunyai akses kepada perkhidmatan Google.
Sumber berita diperoleh Twitter Rasmi Android












