Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat mengumumkan pemberian tempoh perlanjutan lesen sementara, Temporary Genera License buat kali keempat kepada Huawei. Seterusnya, membolehkan firma elektronik dari China ini berurusan dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat sehingga 15 Mei ini.

Tidak lama selepas disenaraikan di dalam Entity List tahun lalu, Huawei telah diberikan oleh kerajaan A.S. kebenaran khas berurusan untuk pertama kalinya. Pengecualian ini telah ditetapkan akan tamat pada 19 Ogos 2019, namun telah diberikan perlanjutan sehingga 90 hari lagi. Seterusnya, pada November 2019, Huawei sekali lagi diberikan perlanjutan untuk 90 hari. Walaubagaimanapun, tempoh pengecualian terbaru yang diberikan kali ini adalah paling singkat iaitu 60 hari sahaja.

Sungguhpun tempoh perlanjutan ini sudah diberikan berulang kali, keadaan di antara Huawei dengan rakan-rakan dagangannya masih lagi sama. Perlanjutan ini diberikan untuk membolehkan Huawei berdagang dengan rakan dagangannya dari A.S., namun hanya terhad untuk komponen-komponen yang tidak memberikan risiko terhadap “keselamatan negara”.

Pengguna-pengguna telefon pintar Huawei bagaimanapun mungkin kecewa dengan tiadanya perkembangan terbaru yang melibatkan penggunaan sistem operasi Google, Android pada peranti Huawei. Oleh itu, besar kemungkinan siri Huawei P40 yang bakal hadir nanti tidak akan menggunakan Android 10.

Kerajaan Amerika Syarikat juga kini sedang giat membantu penyedia-penyedia rangkaian di kawasan-kawasan luar bandar menggantikan peralatan rangkaian Huawei yang sedang digunakan. Antara usaha yang dilakukan termasuk memberikan imbuhan untuk penyedia rangkaian menggantikan peralatan dengan pembekal selain dari Huawei.

Sumber berita diperoleh dari GSM Arena

Tinggalkan komentar