Google terpaksa memutuskan hubungan antara Android dan Huawei bagi mematuhi arahan pengharaman kerajaan A.S. terhadap gergasi elektronik China tersebut. Sungguhpun Huawei kini sedang berdepan dengan situasi yang amat sukar, beberapa langkah penyelesaian alternatif kini sedang giat diusahakan. Terkini, terdapat laporan yang menyatakan Huawei bekerjasama dengan Aptoide untuk menggantikan Google Play Store pada peranti keluarannya.

Maklumat ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Aptoide, Paulo Trezentos, namun tiada apa yang dapat diputuskan oleh kedua-dua syarikat pada peringkat ini. Usahasama ini tidak mustahil untuk direalisasikan dengan mengambil kira pembangunan OS alternatif yang kini sedang diusahakan oleh Huawei.

Aptoide sebelum ini pernah bekerjasama dengan Oppo, jadi tidak mustahil untuk pihaknya bekerjasama dengan Huawei. Tambahan pula pengharaman oleh A.S. tidak memberi kesan memandangkan Aptoide merupakan sebuah syarikat Portugis.

Sesuatu yang menarik untuk melihat sama ada Huawei akan menggantikan App Gallery keluarannya dengan gedung aplikasi Aptoide. Berbanding Aptoide yang mempunyai lebih 900,000 aplikasi, jumlah aplikasi yang disediakan di dalam gedung aplikasi Huawei adalah terlalu kecil jumlahnya. Justeru, penggabungan antara kedua-dua gedung aplikasi ini adalah langkah yang paling munasabah untuk diusahakan.

Huawei kini sedang berdepan saat-saat getir dan kini mungkin masa yang sesuai untuk melaksanakan rancangan besar membina ekosistem mereka sendiri.

Adakah dengan populariti dan keupayaan Huawei mampu menjadikannya pesaing utama Android satu ketika nanti? Sama-sama kita nantikannya.

Sumber berita diperoleh dari Tom’s Hardware Italia

Tinggalkan komentar