Pergeseran di antara kerajaan Amerika Syarikat dengan Huawei dilihat masih lagi belum menemukan jalan penyelesaiannya. Bagaimanapun hal ini tidak membuatkan syarikat elektronik dari China ini duduk diam sahaja tanpa mengambil apa-apa inisiatif.

Huawei lewat kebelakangan ini sedang berusaha gigih membangunkan perkhidmatan-perkhidmatan alternatif untuk kegunaan peranti-perantinya. Terbaru, Huawei dilaporkan telah menandatangani perjanjian usahasama dengan TomTom, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pemetaan dan navigasi yang berpangkalan di Belanda.

Perjanjian ini membolehkan Huawei menggunakan perkhidmatan dari TomTom untuk digunakan pada peranti-peranti Huawei. Sebelum era penggunaan telefon pintar, peranti GPS dari TomTom merupakan antara peranti yang agak popular digunakan untuk navigasi dan ianya juga turut memasuki pasaran Malaysia.

Melalui perjanjian ini, Huawei secara amnya telah mendapatkan alternatif kepada aplikasi Google Maps. Dijangkakan, Huawei bakal menyediakan aplikasi-aplikasi berkaitan seperti pemetaan, navigasi dan makluma trafik masa-nyata berdasarkan perkhidmatan yang disediakan oleh TomTom.

Sumber berita diperoleh dari Reuters

Tinggalkan komentar