Huawei telah mengumumkan pihaknya dijangka akan melancarkan jam tangan pintar kecergasan Huawei Band 8 pada Jun 2023. Model baharu ini dikatakan akan membawakan rekaan yang lebih ringan, pemantauan kesihatan yang lebih komprehensif dan banyak lagi.

Selain itu, Huawei Malaysia juga memaklumkan pengguna di Malaysia boleh membuat pra-tempahan Huawei Band 8 bermula dari 1 Jun hingga 5 Jun 2023. Sepanjang tempoh pra-tempahan ini, anda boleh mendapatkan jam tangan pintar ini pada harga RM169.

Ia merupakan harga selepas diskaun RM50 yang ditawarkan secara khusus di laman rasmi Huawei Malaysia di gedung Lazada. Berdasarkan tarikh yang dinyatakan, kemungkinan besar tarikh jualan rasminya bermula seawal 6 Jun 2023.

Berkenaan Huawei Band 8, jam tangan pintar kecergasan ini didatangkan dengan skrin AMOLED 1.47-inci, sama seperti Huawei Band 7.

Bagaimanapun, ia mempunyai kerangka yang lebih nipis dan kecil (43.45 × 24.54 × 8.99mm), menjadikan nisbah skrin ke kerangkanya lebih tinggi 65%. Malah, ia juga lebih lebih ringan iaitu 14g berbanding 16g sebelum ini.

Dari segi cirinya, jam tangan pintar kecergasan ini mempunyai pemantau kadar nadi TruSeen 5.0, pemantau tidur TruSleep 3.0, 100 mod aktiviti dan senaman, serta lebih dari 10,000 muka jam.

Tinggalkan komentar