HONOR X9d 5G kini secara rasminya telah diumumkan secara rasminya di Malaysia. Diketengahkan sebagai telefon pintar peringkat menengah paling kental, ia didatangkan dengan Persijilan Tiga-Kerintangan SGS untuk ketahanan. Selain itu, ia juga mempunyai beberapa naik taraf dari model tahun lepas terutamanya pada bateri.
Telefon pintar ini menampilkan paparan AMOLED 6.79-inci beresolusi 1,200 x 2,640 piksel dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 6,000 nits. Turut disediakan sepasang pembesar suara bass dan penarafan IP69K untuk kerintangan terhadap debu dan jet air.
Di dalamnya, ia menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 6 Gen 4, bergandingan dengan RAM 12GB dan storan 512GB. Seperti yang didedahkan sebelum ini, telefon pintar ini juga dikuasakan oleh bateri silikon-karbon 8,300mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 66W, dan pengecasan berbalik berwayar 7.5W.
Untuk perisian, telefon pintar menengah ini dioperasikan oleh Android 15 melalui antaramuka MagicOS 9.0. Ketersambungannya pula terdiri daripada 5G, Wi-Fi 6 dan Bluetooth 5.2.
Dari segi fotografi, X9d 5G masih lagi menyediakan dua buah kamera iaitu kamera utama 108MP dan kamera ultra-lebar 5MP. Di hadapan disediakan sebuah kamera 16MP. HONOR X9d 5G didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu Reddish Brown, Sunrise Gold, Forest Green, and Midnight Black.
Selain memperkenalkan X9d 5G, HONOR turut mengumumkan HONOR X7d dan HONOR Pad X7. Diletakkan sebagai telefon pintar peringkat pemula bagi siri X, X7d mempunyai penarafan IP65 untuk debu dan air, bateri 6,500mAh, dan storan 512GB dan dijual pada harga RM799.
Untuk HONOR Pad X7 pula, ia merupakan tablet yang menampilkan skrin 8.7-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz, bateri 7,020mAh dan berharga RM499.