Honor telah melancarkan siri telefon pintar terbaharu mereka, Honor WIN dan Honor WIN RT, secara rasmi di China pada 26 Disember 2025.

Telefon pintar memfokuskan kepada prestasi gaming ini hadir dengan spesifikasi luar biasa, termasuk kapasiti bateri yang mencatat rekod baharu dalam kelasnya serta sistem penyejukan aktif yang inovatif untuk memastikan prestasi optimum.

HONOR WIN (Kanan), HONOR WIN RT (Kiri)

Siri ini dilihat sebagai percubaan serius Honor untuk menguasai segmen telefon pintar berprestasi tinggi dengan ciri-ciri yang jarang dilihat pada peranti pesaing.

Prestasi dan Penyejukan Revolusioner

Siri Honor WIN dikuasakan oleh cip pemprosesan terkini, Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5, yang menawarkan peningkatan prestasi ketara berbanding generasi sebelumnya.

Bagi memastikan cip berkuasa ini beroperasi tanpa masalah haba, Honor telah menyertakan teknologi “Dongfeng Turbo Active Cooling”, sebuah kipas penyejuk fizikal binaan dalam yang mampu berputar pada kelajuan 25,000 RPM.

Sistem ini berfungsi dengan menyedut udara dari bahagian belakang peranti. Ia bertujuan menyejukkan komponen dalaman secara aktif, memastikan kestabilan bingkai (frame rate) semasa sesi permainan yang panjang.

Paparan dan Ketahanan Bateri

Selain prestasi, siri Honor WIN turut menampilkan paparan OLED rata berukuran 6.83 inci dengan kadar segar semula (refresh rate) mencecah 185Hz, jauh lebih tinggi berbanding standard industri 120Hz atau 144Hz masa kini.

Skrin ini menyokong resolusi 1.5K (1272 x 2800 piksel) serta pemalapan PWM 5920Hz untuk keselesaan mata. Paling mencuri tumpuan adalah penggunaan bateri Silikon-Karbon berkapasiti gergasi 10,000mAh.

Ia disokong oleh pengecasan pantas berwayar 100W dan tanpa wayar 80W. Justeru membolehkan penggunaan intensif tanpa perlu kerap mengecas.

Telefon pintar ini bukan sahaja memfokuskan kepada gaming, malah turut dilengkapkan dengan spesifikasi yang kompetitif:

  • Skrin: 6.83-inci OLED, 185Hz, Resolusi 1.5K
  • Cip Pemproses: Snapdragon 8 Elite Gen 5 (WIN) / Snapdragon 8 Elite (WIN RT)
  • Bateri: 10,000mAh (Si/C Li-Po), Pengecasan 100W
  • Kamera Belakang: 50MP Utama (Sony LYT-700), 50MP Telefoto (3x Zum Optikal), Ultra-lebar
  • Sistem Penyejukan: Kipas Aktif 25,000 RPM
  • Sistem Operasi: Android 16 dengan MagicOS 10​

Honor WIN menetapkan satu tanda aras baharu bagi telefon pintar gaming dengan gabungan bateri tahan lama dan teknologi penyejukan termaju.

Telefon pintar ini baharu sahaja sahaja dilancarkan di pasaran China dengan harga anggaran sekitar CNY 3,999 (~ RM2,300). Setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai ketersediaannya untuk pasaran global atau Malaysia.

Tinggalkan komentar