Selain memperkenalkan telefon pintar, tablet dan laptop, HONOR turut melancarkan jam tangan pintar dan gelang pintar (smart band) melalui Watch 5 Ultra dan Band 10. Kedua-dua aksesori ini kini boleh dipra-tempah dan tersedia di pasaran pada tarikh yang sama seperti telefon pintar iaitu bermula pada 30 Mei.
HONOR Watch 5 Ultra menawarkan tempoh penggunaan bateri sehingga 15 hari bersama-samma paparan 1.5-inci beresolusi 466 x 466 60Hz. Ia berukuran 46.3 x 46.3 x 11.4 mm dan mempunyai berat 51.8g.
Bahan pada bahagian luarannya diperbuat daripada aloi titanium dengan gentian polimer pada bahagian belakangnya yang mempunyai penarafan IP68 dan 5ATM. Ia digandingkan dengan tali jam yang diperbuat daripada kulit berwarna perang.
Seperti biasa, terdapat sejumlah ciri-ciri penjejakan kesihatan termasuk bacaan kadar nadi ketika tidur, oksigen dalam darah, dan ECG. Juga disediakan Free Diving Mode bersama-sama sejumlah penjejakan pelbagai jenis senaman. Dalam pada masa yang sama, anda juga boleh mendapatkan rumusan bacaan kesihatan anda yang merupakan sebahagian daripada Healthy Morning Report. Jam tangan pintar ini dijual pada harga RM1,099, dan bagi anda yang membuat pra-tempahan sebelum 29 Mei ini akan menerima diskaun RM100 dan seutas “Free-diving Proof Strap”.
Turut diperkenalkan bersama, HONOR Band 10, yang mempunyai skrin 1.57-inci beresolusi 256 x 402 piksel 60Hz dengan ukuran 43.2 x 28.2 x 8.99 mm untuk badan polimer berketahanan 5ATM. Sama seperti Watch 5 Ultra, anda boleh mendapatkan penjejakan kesihatan dan rumusan kesihatan anda pada keesokan harinya. Baterinya juga amat tahan sehingga 14 hari lamanya.
HONOR Band 10 hadir dengan dua varian – hitam dengan tali TPU atau biru dengan tali nilon. Ia dijual di pasaran pada harga RM199 atau RM149 jika anda membuat pra-tempahan sebelum 29 Mei ini.













