HONOR telah mengacah sebuah peranti konsep futuristik yang dinamakan “Telefon Robot,” serentak dengan pelancaran rasmi telefon pintar Magic8 dan Magic8 Pro di China. Peranti inovatif ini menampilkan integrasi sebuah kamera gimbal yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), memberikan bayangan masa depan peranti mudah alih.

Konsep “Telefon Robot” ini pada asasnya adalah sebuah telefon pintar standard yang dilengkapi dengan kamera gimbal, mirip dengan rekaan DJI Osmo Pocket 3. Apa yang menjadikannya unik dan digelar “robot” adalah keupayaan gimbal tersebut untuk bergerak dan melihat sekeliling secara autonomi. Ia seolah-olah meniru pergerakan dan reaksi manusia.

Video acah yang dihasilkan menggunakan AI, mempamerkan keupayaan kamera tersebut memerhati persekitarannya. Malah, ia turut memberi gambaran bahawa Telefon Robot ini mampu bercakap, berinteraksi dengan pengguna, dan merakam gambar secara proaktif. Dari segi reka bentuk, badan telefon ini mempunyai iras model Magic8 yang baru dilancarkan.

Laman rasmi HONOR turut mengajukan pertanyaan merangsang imaginasi mengenai peranti ini:

“Kami tertanya-tanya, bagaimana jika sebuah peranti boleh wujud… dengan otak super AI, memahami dunia di sekeliling anda dalam sekelip mata; Dengan mobiliti super robot, berkongsi detik-detik penting dalam hidup anda; Dan boleh berubah menjadi kamera peribadi anda, merakam setiap memori berharga dengan jitu. Apakah jenis peranti ini?”

Selain daripada maklumat yang didedahkan melalui video acah, butiran lanjut mengenai spesifikasi dan fungsi penuh peranti ini masih belum diumumkan.

HONOR dijangka akan memperkenalkan produk konsep ini secara rasmi di acara Mobile World Congress (MWC) 2026. Ia dijadualkan berlangsung pada awal Mac tahun hadapan. Pengguna yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut boleh mendaftar surat berita (newsletter) HONOR.

Selain itu, mereka yang mendaftar juga berpeluang untuk menyertai penyelidikan pengguna awal yang akan membantu membentuk produk akhir, serta ditawarkan akses percubaan prioriti untuk menjadi antara yang pertama di dunia merasai pengalaman menggunakan peranti ini.

Tinggalkan komentar