HONOR secara rasminya telah mengumumkan MagicPad 3 akan hadir ke pasaran Malaysia pada 20 Ogos 2025. Tablet berkesinambungan MagicPad 2 yang popular ini mengetengahkan prestasi tertinggi bersinonim dengan siri ini.
Menampilkan paparan LCD 13.3-inci 165Hz berkecerahan puncak 1,000 nits dan liputan warna DCI-P3, tablet ini masih lagi menyokong kandungan dipertingkatkan IMAX yang boleh dinikmati menerusi lapan pembesar suara dengan audio spatial.
Tumpuan utama tablet ini terletak pada kenipisan dan ringannya yang masing-masing hanya 5.79mm dan 595g. Di dalamnya ia menggunakan Snapdragon 8 Gen 3 dengan RAM sehingga 16GB dan storan 1TB.
HONOR MagicPad 3 juga memuatkan bateri berkapasiti 12,450mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W. Bersama-sama penggunaan cipset HONOR E2, peranti ini dipertingkatkan kecekapan baterinya yang didakwa mampu memainkan video penstriman sehingga 16 jam dalam sekali cas. Lain-lain ciri yang disokong oleh tablet ini termasuklah WiFi 7, Bluetooth 5.4, dan port USB 3.2 Gen 1 Type-C dengan sokongan untuk DisplayPort 1.2.
Kameranya pula hadir dalam bentuk kamera utama 13MP dan kamera makro 2MP di bahagian belakangnya. Di depan pula terdapat sebuah kamera 9MP.
HONOR MagicPad3 boleh didapati dengan tiga pilihan warna iaitu grey, beige, dan white. Harganya bermula dari CNY2,999 (~RM1,764) untuk konfigurasi asas 8GB + 256GB dan CNY4,199 (~RM2,470) untuk 16GB + 1TB.













