HONOR pada minggu lepas telah mengumumkan pelancaran dua produk baharu pada hari ini iaitu MagicBook Art 14 dan MagicPad 3 ke pasaran Malaysia. Kedua-dua peranti ini membawakan beberapa penambahbaikan terutamanya dari segi kuasa pemprosesan.
MagicBook Art 14 merupakan laptop ringan yang popular dengan kamera web yang boleh disambung-tanggal secara magnetik. Selain boleh diletakkan berhadapan seperti biasa, ia juga boleh diterbalikkan ke arah bertentangan dan boleh ditanggal semula untuk disimpan ke dalam slot yang disediakan.
Laptop ini berukuran 1cm tebal dan seberat kira-kira 1kg. Ia menampilkan skrin sentuh OLED anti silau 14.6-inci dengan resolusi 3,120 x 2,080 piksel dan nisbah aspek 3:2. Paparannya ini juga mempunyai kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 1,600 nits. Untuk port, MagicBook Art 14 2025 menampilkan satu port HDMI 2.1, bicu audio 3.5mm dan USB-A 3.2 Gen 1, USB-C 3.2 Gen2, dan Thunderbolt 4.
Di dalamnya, ia dilengkapkan dengan pemprosesan Intel Core Ultra 7 225H bergandingan RAM LPDDR5X 32GB dan SSD 1TB. Menurut HONOR, bateri 60Wj laptop ini mampu menawarkan masa penggunaan lebih dari 10 jam.
Dari segi penawaran warna, Emerald Green pada model terdahulu masih lagi ada dengan penambahan warna baharu Mocha Brown yang diinspirasikan Warna Pantone Tahun 2025, Mocha Mousse.
Anda boleh mendapatkan MagicBook Art 14 pada harga RM5,999 bermula dari 22 Ogos 2025. Setiap pembelian berpeluang untuk menerima hadiah percuma eksklusif bernilai RM508 berbentuk HONOR Backpack dan langganan Microsoft 365 Personal 1-tahun.













