Selain memperkenalkan telefon pintar X Series baharu, HONOR turut melancarkan secara rasminya laptop HONOR MagicBook 16 ke pasaran Malaysia. Laptop terbaru ini hadir dengan skrin yang lebih besar serta pemprosesan lebih berkuasa.
Melalui paparan IPS Full HD 16.1-inci dengan kadar penyegaran semula 144Hz, laptop ini dikuasakan oleh pemprosesan AMD Ryzen 7 5800H dengan grafik berintegrasi Radeon. Ia didatangkan dengan RAM DDR4-3200 dwi-saluran 16GB dan SSD 512GB.
HONOR MagicBook 16 turut menawarkan ciri rekaan yang agak tipis dan ringan dengan berketebalan 18.2mm dan seberat 1.84kg sahaja. Sama seperti laptop HONOR MagicBook sebelumnya, laptop terbaru ini manmpilkan rekaan kerangka aluminium unibody.
Menyertakan ciri sokongan pengimbas cap jari yang turut berperanan sebagai butang kuasa, laptop ini juga menyediakan pembesar suara yang menerima penalaan oleh Nahimic.
Turut disediakan webcam 720p, bersama-sama dua port USB-C 3.2 Gen 1, dua port USB-A 3.2 Gen 1, satu port HDMI dan satu bicu audio kombo 3.5mm. Untuk sokongan ketersambungan nirwayar pula, MagicBook 16 menyokong Wi-Fi 6 dwi-jalur dan Bluetooth 5.1.
Untuk baterinya, HONOR menyatakan bateri yang berkapasiti 56Wj ini mampu memberikan masa main semula video Full HD sehingga 8 jam. MagicBook 16 turut didatangkan dengan pengecas USB-C 65W yang membolehkan laptop ini dicaskan sehingga 85% penuh dalam tempoh 1 jam.
Boleh didapati dalam warna Space Gray, HONOR MagicBook 16 buat masa ini boleh dipra-tempah sehingga 13 April 2022 pada harga RM4,299. Anda yang membuat pra-tempahan laptop ini akan menerima cenderahati percuma berbentuk HONOR MagicWatch 2, langganan 1-tahun Microsoft 365 Personal, beg galas laptop, dan satu tetikus nirwayar, Turut disediakan perlindungan selama 1-tahun Battery Care sebagai tambahan kepada waranti standard 1-tahun yang diberikan oleh HONOR.













