HONOR berkongsikan di platform Weibo mengenai persiapan pelancaran telefon pintar baharu di bawah siri Magic8. Peranti baharu tersebut dinyatakan akan menggabungkan elemen daripada peranti kategori “Pro” dan “Air”.
Maklumat tertiris di arena web buat masa ini mendedahkan reka bentuk serta spesifikasi utama peranti tersebut. Ia didakwa akan dinamakan sebagai HONOR Magic8 Pro Air.
HONOR Magic8 Pro Air dijangka akan menampilkan paparan skrin AMOLED bersaiz 6.3 inci. Apa yang menarik, profil reka bentuknya dikatakan hanya mempunyai ketebalan 6.1mm dengan berat sekitar 155 gram. Sebagai perbandingan, model iPhone Air adalah lebih nipis pada 5.6mm. Bagaimanapun, ia lebih berat iaitu 165 gram.
Dari aspek prestasi, telefon pintar ini akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Dimensity 9500. Walaupun perincian mengenai konfigurasi memori (RAM) dan storan masih belum didedahkan, peranti ini disahkan akan mempunyai bateri berkapasiti 5,500mAh. Bateri yang digunakannya berteknologi anod silikon-karbon dan menyokong pengecasan pantas 80W.
Berikut adalah spesifikasi kamera dan pilihan warna yang dijangkakan:
- Kamera Utama: 50MP dengan sensor bersaiz 1/1.3-inci (sebahagian daripada tetapan tiga kamera belakang).
- Kamera Tambahan: Spesifikasi bagi dua lensa lain masih belum diketahui.
- Pilihan Warna: Hitam, putih, ungu, dan oren.
HONOR dilaporkan merancang untuk melancarkan Magic8 Pro Air ini di pasaran China pada penghujung bulan ini. Setakat ini masih belum ada kepastian sama ada akan memperkenalkannya untuk pasaran antarabangsa atau tidak.

















