Siri HONOR Magic8 akan dilancarkan pada bulan hadapan dan kini telah disahkan siri berkenaan akan menggunakan cip baharu Snapdragon 8 Elite Gen 5. HONOR juga dijadualkan akan melancarkan tablet Android pertama dengan cip baharu dari Qualcomm tersebut dengan Magic Pad 3 Pro 13.3.

Reka bentuk luaran Magic8 Pro juga diperlihatkan dengan lebih dekat dengan menampilkan pilihan warna hijau. Ia diperlihatkan dengan permukaan belakang dan sisi yang rata dengan ruangan kamera berbentuk bulatan besar.

Butang AI khas pada sisi yang sebelum ini pernah dilaporkan akan diperkenalkan turut diperlihatkan hadir pada sisi yang sama dengan butang audio dan kuasanya.

HONOR turut berkongsikan beberapa perincian tambahan tentang ciri AI baharu untuk siri Magic8. Melalui antaramuka MagicOS 10 baharu kelak, ia akan menampilkan integrasi mendalam AI dengan model AI dalam peranti menerusi pemahaman semantik termaju. Selain itu, HONOR juga membawakan ciri AI agentik merentasi 3,000 senario dan meliputi lebih dari 100 aplikasi yang selalu digunakan.

Ciri menggayakan semula imej baharu Magic Color juga diperkenalkan yang membolehkan pengguna mengubah foto dan video menggunakan arahan suara. Telefon pintar baharu HONOR ini juga akan membawakan Hybrid Retrieval Technology untuk carian segera berbilang modal merentasi teks, imej dan video.

Untuk pemain permainan mudah alih pula bakal menikmati ciri AI Super Sampling baharu yang menawarkan peningkatan resolusi dan kadar bingkai untuk judul permainan dunia terbuka berkeperluan tinggi pada resolusi 1080p pada kadar 120fps.

Dalam pada masa yang sama, Ketua Pegawai Pemasaran HONOR Guo Rui turtu berkongsikan gambar contoh menggunakan lensa periskop 200MP HONOR Magic 8 Pro.

HONOR Magic8 dan Magic8 Pro djiangka akan diperkenalkan secara rasmi pada Oktober 2025 di pasaran China. Tidak dapat dipastikan jika siri baharu telefon pintar mercu keluaran HONOR ini akan turut diperkenalkan di pasaran Malaysia pada waktu yang hampir sama.

Tinggalkan komentar