HONOR secara rasminya melancarkan telefon pintar boleh lipat gaya cengkerangnya di pasaran China, Magic V Flip 2. Peranti berkesinambungan dari Magic V Flip ini sarat dengan penambahbaikan yang ketara terutamanya dari segi kamera dan baterinya.
Skrin dalaman telefon pintar ini merupakan paparan OLED LTPO 6.82-inci beresolusi 2,868×1,232 piksel, kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 5,000 nits. Skrin luarannya pula adalah panel OLED LTPO 4-inci beresolusi 1,200×1,092 piksel, kadar penyegaran semula 120Hz, dan kecerahan puncak 3,600 nits. Selain dari itu, ia mempunyai dwi-pembesar suara, serta penarafan IP58 dan IP59.
Di dalamnya, telefon pintar boleh lipat dimuatkan dengan Snapdragon 8 Gen 3 yang bergandingan dengan RAM 16GB dan storan 1TB. Ia menampilkan bateri 5,500mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 80W dan nirwayar 50W. Selain itu, ia juga menyokong pengecasan berbalik nirwayar 7.5W.
Ciri ketersambungannya pula menampilkan WiFi 7, Bluetooth 5.3, dan NFC. Untuk perisiannya, Magic V Flip 2 menggunakan Android 15 melalui antaramuka MagicOS 9.0.1 yang turut didatangkan dengan sejumlah ciri-ciri berkuasa AI seperti alatan suntingan foto bantuan AI.
Kamera telefon pintar ini menampilkan kamera utama 200MP 1/1.4-inci dengan apertur f/1.9 dan OIS. Kameranya yang kedua pula merupakan kamera ultra-lebar 50MP dengan sudut medan pandang 120-darjah. Di paparan dalamannya pula disediakan sebuah kamera 50MP yang ditempatkan di bahagian berpenebuk lubangnya.
HONOR Magic V Flip 2 di datangkan di dalam pilihan warna Purple, White, Gray, dan Blue edisi terhad. Sama seperti Magic V Flip sebelum ini, versi khas model kali ini merupakan hasil kerjasama dengan pereka fesyen prolifik kelahiran Malaysia, Datuk Prof Dr. Jimmy Choo.
Harga untuk telefon pintar ini bermula dari CNY5,499 (~RM3,238) untuk pilihan 12GB+256GB. Buat masa ini tiada sebarang maklumat sama ada HONOR akan menawarkan telefon pintar boleh lipat ini ke pasaran luar dari China.













