HONOR dijangka akan memperkenalkan HONOR Magic 8 dan Magic 8 Pro pada bulan ini di China. Laporan terkini turut menyatakan siri ini akan memperkenalkan dua lagi model iaitu Magic 8 Mini dan Magic 8 Ultra.

Ura-ura menyatakan kedua-dua peranti berkenaan akan diperkenalkan pada separuh pertama tahun 2026. Pentiris maklumat tegar Digital Chat Station baru-baru turut berkongsikan perincian kamera utama Magic 8 Ultra.

Menurutnya, Magic 8 Ultra akan menjadi telefon pintar pertama menampilkan kamera 50MP OmniVision OV50R. Sensor baharu ini dijangka akan memulakan pengeluaran besar-besarannya pada suku pertama 2026.

Tambahnya lagi, sensor 50MP ini ditampilkan dengan saiz besar 1/1.3-inci dengan unit piksel 1.2μm dan Pengesanan Empat Fasa (Quad Phase Detection, QPD) 100% untuk auto-fokus lebih pantas dan lebih jitu.

Ia menyokong teknologi LOFIC terkini, menawarkan julat dinamik sehingga 110dB bersama-sama HDR tiga saluran 4K dan output RAW RGB 10/12/14-bit. Selain itu, ia juga menyertakan sokongan HDR DAG dan menyumbang penggunaan tenaga 20% lebih rendah berbanding sensor OV50K.

Laporan-laporan pula mendakwa Magic 8 Ultra juga akan mempunuyai kamera ultra-lebar dan kamera telefoto berperiskop Samsung HP9 200MP dengan zum optikal 4.3x hingga 7x.

Sungguhpun tiada maklumat mengenai spesifikasi HONOR Magic 8 Ultra, model ini dijangka akan menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Elite Gen 5, sama seperti Magic 8 dan Magic 8 Pro. Jika Magic 8 dan Magic 8 Pro diyakini akan dilancarkan ke pasaran global, tidak dapat dipastikan jika model Ultra ini akan dijual ke pasaran di luar China.

Tinggalkan komentar