Telefon pintar siri Honor 9X dijangka bakal diumumkan pada 23 Julai 2019 di China, menurut akaun Weibo rasminya. Berdasarkan maklumat yang telah dikongsikan, telefon pintar ini hadir dengan cipset terbaru Huawei, HiSilicon Kirin 810 yang menggunakan proses pembuatan 7nm.

Honor 9X turut dijangka bakal hadir dengan tetapan RAM sehingga 4GB dan storan sehingga 64GB, bersama-sama pilihan paparan sehingga 6.7-inci. Untuk kameranya pula, siri telefon pintar ini menawarkan konfigurasi dwi-kamera, 13MP + 2MP pada kamera utamanya. Manakala kamera swafotonya pula ditawarkan dengan pilihan 20MP atau 16MP.

Imej pengolokan bagi telefon pintar ini juga turut tersebar melalui laman Slashleaks yang menunjukkan ianya hadir dengan kamera swafoto terpacul pada sebelah atasnya.

Selain itu, telefon pintar ini juga dijangkakan hadir dengan bateri berkapasiti 4,000mAh bersama-sama fungsi pengecasan pantas 20W.

Bagaimanapun, pihak Honor masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai spesifikasi perkakasannya. Berkemungkinan besar terdapat beberapa perubahan dari segi maklumat perkakasannya pada hari pelancarannya nanti.

Sumber berita diperoleh dari Gizmochina

Tinggalkan komentar