HONOR dijadualkan akan melancarkan siri HONOR 90 ke pasaran global pada 6 Julai ini. Walaubagaimanapun, salah satu daripada variannya, HONOR 90 Lite telah pun tersedia di dalam laman web rasmi HONOR Perancis.
Berdasarkan rupa luarannya, HONOR 90 Lite kelihatan seperti HONOR X50i yang dilancarkan khusus untuk pasaran China sebelum ini. Di dalamnya, telefon pintar ini dikuasakan oleh cipset MediaTek Dimensity 6020 bersama-sama RAM 8GB dan storan 256GB.
Dari segi paparannya pula, skrin HONOR 90 Lite hadir dalam bentuk LCD LTPS 6.7-inci 90Hz beresolusi FHD+ dengan nisbah aspek 19:9. Terdapat ruangan berpenebuk lubang di atasnya yang menempatkan sebuah kamera swafoto 16MP.
Dalam pada masa yang sama, di belakangnya pula menempatkan kamera utama 108MP, kamera ultra lebar 5MP dan satu kamera makro 2MP. Baterinya kecil sedikit berbanding telefon pintar peringkat menengah lain iaitu 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 22.5W melalui port USB-C.
Lain-lain ciri yang disediakan termasuklah pengimbas cap jari di bahagian sisi, dwi-SIM, 5G, Bluetooth 5.3, NFC, dan Android 13 melalui MagicOS 7.1. Ia hadir dengan pilihan warna Midnight Black, Titanium Silver dan Cyan Lake.
Ketersediaan dan harga HONOR 90 Lite di pasaran Malaysia bagaimanapun setakat ini masih lagi belum diketahui. Dijangkakan pelancarannya di pasaran tempatan akan diadakan selepas pelancaran secara globalnya pada 6 Julai ini.













