HONOR secara rasminya telah melancarkan barisan telefon pintar terbaharunya, siri HONOR 500 di pasaran China yang terdiri daripada model asas dan varian Pro.
Kedua-dua peranti ini menampilkan rekaan yang diperbaharui sepenuhnya berbanding model terdahulu, serta dilengkapi dengan spesifikasi tinggi termasuk kapasiti bateri yang luar biasa besar dan teknologi cip pemprosesan terkini.
Rekaan estetik pada bonggol kamera
Siri HONOR 500 membawakan perubahan estetik yang ketara, terutamanya pada modul kamera yang direka semula yang dikatakan mengambil inspirasi daripada sebuah jenama telefon pintar Amerika Syarikat. Walaupun memuatkan bateri berkapasiti besar, kedua-dua peranti kekal nipis dengan ketebalan hanya 7.75mm.
Dari segi paparan, kedua-dua model dilengkapi skrin OLED LTPO bersaiz 6.55 inci dengan resolusi 1,264 x 2,736 piksel. Paparan ini menyokong kadar segar semula 120Hz dan mampu mencapai kecerahan puncak setempat sehingga 6,000 nits.
Di samping itu, ia juga memiliki ciri keselamatan pengimbas cap jari di bawah skrin serta penarafan ketahanan debu dan air IP68 dan IP69K.
Perbezaan utama antara kedua-dua model terletak pada spesifikasi dalaman. HONOR 500 versi asas dikuasakan oleh cip pemproses Snapdragon 8s Gen 4, dipadankan dengan memori (RAM) sehingga 16GB dan storan dalaman 512GB.
Manakala, HONOR 500 Pro pula hadir dengan cip yang lebih berkuasa iaitu Snapdragon 8 Elite, dengan pilihan storan maksimum sehingga 1TB. Kedua-dua peranti ini dijana oleh sistem operasi MagicOS 10 yang berasaskan Android 16.
Ciri paling menonjol pada siri ini adalah kapasiti baterinya. Kedua-dua model dilengkapi bateri sebesar 8,000mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 80W dan pengecasan berbalik 27W. Bagi varian Pro, ia mempunyai kelebihan tambahan dengan sokongan pengecasan tanpa wayar 50W.
Sudut fotografi juga menerima penekanan khusus dengan spesifikasi berikut:
- Kamera Utama: Sensor 200MP (1/1.4-inci) untuk kedua-dua model.
- Kamera Sudut Ultra Lebar: Sensor 12MP.
- Kamera Telefoto (Pro Sahaja): Sensor 50MP dengan zum optikal 3x.
- Kamera Swafoto: Sensor 50MP yang ditempatkan dalam lubang ‘punch hole’.
Siri HONOR 500 ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Aquamarine, Starlight Powder, Moonlight Silver, dan Obsidian Black.
Di pasaran China, harga jualan bermula sekitar CNY2,699 (~RM1,569) untuk model asas (12GB+256GB), manakala varian Pro dijual bermula CNY3,599 (~RM2,092) untuk konfigurasi yang sama. Setakat ini, pihak HONOR belum mengesahkan status ketersediaan siri ini untuk pasaran global termasuk Malaysia.

















