Apa sudah jadi pada HongMeng OS? Sistem operasi keluaran Huawei ini pada awalnya dikatakan bakal menjadi alternatif kepada Android untuk digunakan pada telefon pintar keluaran syarikat elektronik dari China tersebut.
Bagaimanapun, HongMeng OS bukanlah dibangunkan untuk digunakan pada telefon pintar sebagaimana yang diperkatakan oleh media sebelum ini. Ianya dikhususkan pada peranti-peranti Internet of Things (IoT) sebagaimana dijelaskan oleh Pengerusi Huawei, Encik Liang Hua kepada pemberita di Shenzhen baru-baru ini.
Kenyataan beliau ini turut dikuatkan lagi dengan penjelasan oleh Pengasas Huawei sendiri, Encik Ren Zhengfei yang memaklumkan Huawei tidak membangunkan sistem operasi berkenaan untuk menggantikan Android. Jika Google benar-benar melarang Huawei dari menggunakan sistem operasinya, Huawei perlu membangunkannya dari bawah untuk mewujudkan sebuah ekosistem baru.
Manakala Timbalan Presiden Kanan Huawei, Puan Catherine Chen telah menjelaskan kepada pihak media di Brussel, Belgium baru-baru ini mengenai tujuan HongMeng OS didaftarkan tanda niaganya adalah untuk digunakan pada peranti-peranti IoT. Beliau turut menerangkan Huawei akan terus menggunakan Android pada telefon-telefon pintar keluarannya.
Sungguhpun HongMeng OS dikatakan telah lama di dalam peringkat pembangunan sebelum insiden pengharaman oleh A.S. ini, kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurusan peringkat tertinggi ini kelihatan bercanggah dengan laporan sebelum ini yang mengatakan HongMeng OS akan digunakan jika pengharaman terhadap Huawei berkekalan.
Apa pun jua perkembangannya, sistem operasi yang dibangunkan sendiri ini mungkin terus kekal sebagai ‘spare tire‘ jikalau pentadbiran Presiden Trump berubah fikiran sekali lagi.
Sumber berita diperoleh dari Xianhua













