Harga storan pemacu bentuk pepejal (solid state drive, SSD) dijangkakan bakal terus turun menjelang penghujung tahun ini. Permintaan bagi storan SSD kian meningkat saban tahun atas faktor kelebihannya dari segi kelajuan dari kelasakannya.
Industri storan medium ini dilaporkan mengalami lebihan stok semasa hingga memberi kesan kepada penurunan harga, lapor DRAMeXchange.
Akhir tahun 2019 ini disasarkan bakal melihat penurunan harga sehingga $0.1 atau bersamaan RM0.42 bagi setiap GB.
Berbanding storan cakera keras, storan pemacu bentuk pepejal mampu mengoperasikan sesebuah komputer pada kadar kelajuan yang jauh lebih pantas. Hinggakan storan SSD berharga bajet seperti Kingston A400 pun mampu menawarkan kadar pemindahan data pada 500MB/s untuk membaca dan 320MB/s untuk menulis.
Penurunan harga SSD ini pastinya disambut baik oleh pengguna-pengguna yang ingin menaik taraf komputer masing-masing ke pemacu yang lebih pantas. Selain dari kadar pemindahan yang pantas, SSD juga mampu menjadikan waktu boot sistem operasi jauh lebih pantas.
Sumber berita diperoleh dari Storage Newsletter













