KUALA LUMPUR, 30 Sept – Kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MoF) telah menetapkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter berkuat kuasa hari ini sehingga 8 Oktober 2025. Penetapan harga ini selaras dengan pelaksanaan program penyasaran subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang telah bermula.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, warganegara Malaysia yang layak dalam program BUDI95 akan menikmati harga runcit petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter sahaja. Manakala sektor pengangkutan awam darat dan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) akan dikenakan harga RM2.05 seliter.

Kementerian Kewangan memberikan jaminan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaraskan harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak global bagi menyokong kestabilan harga.

Bagi bahan api lain, harga runcit RON97 kekal pada paras RM3.21 seliter. Diesel untuk Semenanjung Malaysia juga tidak berubah pada RM2.93 seliter, manakala diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Kerajaan menegaskan komitmennya untuk terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan akan mengambil langkah-langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Tinggalkan komentar