Harga cip memori flash NAND dilaporkan telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini. Manakala harga untuk Pemacu Keadaan Pepejal (SSD) turut menunjukkan peningkatan yang sama dalam tempoh kurang dari enam bulan.
Peningkatan mendadak ini didorong oleh permintaan tinggi dari sektor pelayan Kecerdasan Buatan (AI), yang dijangka akan memberi kesan kepada ketersediaan dan harga SSD untuk pengguna umum.
Ketua Pegawai Eksekutif Phison, Khein-Seng Pua, mendedahkan perkembangan ini ketika sesi earning calls bersama pelabur. Beliau memperincikan kenaikan ini adalah pada kos cip NAND itu sendiri dan bukan kos keseluruhan SSD. Phison merupakan syarikat yang membeli komponen tersebut daripada tiga pengeluar utama dunia iaitu Samsung, SK Hynix, dan Micron.
Punca utama kenaikan harga ini adalah permintaan yang melonjak untuk komponen storan dan memori daripada sektor pelayan AI. Lonjakan permintaan ini menyebabkan bekalan cip NAND untuk komponen peringkat pengguna. Paling terkesan SSD NVMe yang dijual di kedai fizikal dan dalam talian kian terhad.
Lebih membimbangkan, CEO Phison turut menyatakan bahawa kapasiti pengeluaran daripada setiap pengeluar NAND telah habis dijual sehingga tahun 2026. “Semua kapasiti telah habis dijual. Tidak kira sama ada mereka boleh menukar pengeluaran TLC kepada pengeluaran QLC, ia tidak akan membantu kerana kapasiti sudah habis dijual,” kata beliau.
Amaran mengenai kekurangan bekalan ini bukan sahaja disuarakan oleh Phison. Syarikat-syarikat lain seperti Adata dan Sandisk juga telah memberikan pemakluman mengenai situasi kekurangan bekalan ini. Semua pengeluar memori dan storan utama sedang mengalami masalah kekurangan bekalan akibat permintaan tinggi yang sama.
Pengguna yang merancang untuk menaik taraf atau menambah kapasiti storan pada komputer peribadi atau laptop mungkin perlu bertindak segera. Dalam keadaan bekalan yang semakin terhad dan harga yang terus meningkat, mendapatkan SSD yang diperlukan sekarang mungkin merupakan satu langkah bijak sebelum pasaran mengalami kesan yang lebih ketara.













